3 kesan mula kebakaran ditemui di rumah CEO Cradle Fund

Samirah Muzaffar (tengah) didakwa bersama 2 remaja dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, membunuh suaminya, Nazrin Hassan.

SHAH ALAM: Saksi pendakwaan ke-20 perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, terdapat 3 kesan bermulanya kebakaran di rumah mangsa pada 14 Jun 2018.

Pengarah Jabatan Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Edwin Galan Teruki berkata berdasarkan siasatan, kesan itu ditemui pada kepala Nazrin, bahagian kanan tilam dan di kepala katil.

“Pada punca kebakaran pertama, bomba menjumpai kehilangan jisim bahan pada kain dan kesan jelaga di kepala (mangsa) dan lantai. Pada punca kebakaran kedua pula, kehilangan jisim bahan yang tinggi ditemui pada bahagian kanan tilam menunjukkan ia terdedah kepada api sangat kuat.

“Manakala pada punca kebakaran ketiga di kepala katil, bomba mendapati ada kesan jelaga yang dalam, iaitu 0.7mm berbanding di kawasan lain hanya 0.3mm,” katanya ketika membaca pernyataan saksi di depan Hakim Ab Karim Ab Rahman.

Beliau berkata, analisis sampel kebakaran turut menemui kesan cecair mudah terbakar seperti petrol dan imbasan dilakukan terhadap telefon bimbit jenis Blackberry yang didakwa menjadi punca kebakaran turut mendapati strukturnya tidak rosak, sebaliknya hanya terdapat sedikit kehilangan jisim bahan “casing” telefon berkenaan.

Galan berkata, berdasarkan dapatan itu dan hasil perbincangan dengan Pegawai Penyiasat Kebakaran JBPM Selangor, Abdul Halim Zulkefeli serta beberapa pegawai lain, mereka bersetuju kebakaran itu sengaja dilakukan dan siasatan lanjut perlu dijalankan.

Beliau berkata, dalam siasatan lanjut, beberapa analisis turut dilakukan, antaranya proses lakonan semula, selain menemu bual saksi terlibat dengan mangsa sama ada secara langsung atau tidak langsung.

“Selepas selesai siasatan berkenaan, satu laporan dihantar kepada ketua polis daerah Petaling Jaya.”

Pada 12 Mac 2019, Samirah Muzaffar, 45, bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia yang juga isteri Nazrin serta 2 remaja lelaki berusia 17 dan 14 tahun, didakwa bersama seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, membunuh mangsa.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun hingga 4 pagi 14 Jun 2018.

Perbicaraan bersambung 22 Mei ini.