Adun pembangkang Kedah menghadap sultan

Wisma Darul Aman adalah pusat pentadbiran kerajaan negeri di Kedah.

ALOR SETAR: Seramai 19 Adun Kedah dari kerusi pembangkang termasuk 2 yang baru mengumumkan menjadi Adun bebas tiba di Wisma Darul Aman untuk menghadap sultan negeri itu.

Bagaimanapun, 4 Adun dari PPBM yang berikrar taat setia kepada pembangkang masih belum kelihatan.

Dua Adun bebas itu iaitu Adun Sidam, Robert Ling Kui Ee dan Adun Lunas, Azman Nasarudin keluar dari parti mereka pada Selasa.

Sementara itu, keempat-empat Adun PPBM tersebut adalah antara 23 Adun yang dikatakan menandatangani akuan berkanun yang menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Menteri Besar Mukhriz Mahathir.

Sultan Kedah, Sultan Salehuddin Sultan Badlishah dijadualkan bertemu dengan semua 36 Adun, hari ini.

Walaupun terdapat banyak kenyataan yang menunjukkan beliau kehilangan sokongan majoriti DUN, Mukhriz berkata pada Rabu beliau tetap menjadi menteri besar sehingga usul tidak percaya terhadapnya disahkan.

“Saya masih di sini. Kerajaan saya masih wujud. Tidak betul kerajaan Kedah telah jatuh,” katanya.