Dr Jemilah rayu rakyat ambil iktibar trend Covid-19 di negara lain

Penasihat khas kesihatan awam kepada perdana menteri Dr Jemilah Mahmood berkata, kini bergantung kepada orang ramai untuk mengambil langkah pencegahan Covid-19 secara serius. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Penasihat khas kesihatan awam kepada perdana menteri menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengambil iktibar daripada trend Covid-19 di negara lain, dengan berkata, orang ramai tidak boleh leka, terutama ketika Hari Raya yang hampir menjelang.

Dr Jemilah Mahmood berkata, Korea Selatan dan Jerman mencatatkan lonjakan baru dalam kes Covid-19 dan 16 orang di Bahrain diuji positif virus itu selepas berbuka puasa bersama.

Beliau memberi amaran bahawa kecuaian dalam mematuhi langkah keselamatan akan menggagalkan kejayaan yang telah dicapai negara.

“Kerajaan telah melakukan segalanya yang boleh dilakukan, malah lebih lagi,” kata Jemilah kepada FMT.

“Ia terserah kepada orang ramai sekarang, tetapi bukan semua orang menyedari perkara ini.

“Kerajaan membuat keputusan berdasarkan bukti dan data, yang sentiasa berubah. Apabila situasi berubah, sudah tentu kita harus menyesuaikan diri.”

Beliau berkata, badan kesihatan antarabangsa harus mengubah pandangan mereka dengan kemunculan bukti baru dan memberi contoh penggunaan topeng dan ujian antibodi.

“Ini bukan mengenai membuat pusingan U, tetapi menjadi sensitif terhadap ketidakpastian yang dibawa oleh pandemik,” katanya.

Jemilah menggesa orang ramai supaya tidak melakukan perjalanan semasa cuti Hari Raya dan mencadangkan agar umat Islam merayakan perayaan itu di rumah masing-masing.

“Dengan cara ini, kita dapat pastikan keselamatan semua orang, terutama ahli keluarga yang lebih berusia. Sudah pasti kita tidak mahu kembali kepada situasi sekatan pergerakan, terutama pada Hari Raya.”

Beliau kesal sesetengah orang dilihat tidak menyedari bahawa tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang sedang dilaksanakan bergantung pada kepatuhan mereka terhadap prosedur yang ditetapkan.

Beliau berkata, keputusan kerajaan dibuat selepas menimbang risiko, sambil menambah bahawa Putrajaya harus sentiasa memastikan keseimbangan antara kehidupan dan mata pencarian.

“Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengumumkan kadar kebolehjangkitan, atau nilai ‘R nought’, untuk Covid-19 di Malaysia adalah 0.3 dan itu adalah kejayaan besar.

“Kita perlu mengekalkan atau menurunkan angka ini. Satu-satunya cara untuk melakukannya adalah dengan mengamalkan penjarakan keselamatan, memakai topeng dan memastikan kebersihan tangan dan pernafasan pada setiap masa.”