Etnik Chin dalam ketakutan selepas Pudu dikenakan PKPD separa

Kawasan Pudu di Kuala Lumpur diletakkan di bawah PKPDS selepas laporan peningkatan kes Covid-19 membabitkan pendatang di kawasan itu.

PETALING JAYA: Ketua sebuah persatuan yang mewakili etnik Chin yang berasal dari Myanmar berkata komuniti itu di Pudu takut mereka akan dihantar pulang berikutan tindakan meletakkan kawasan itu di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Separa (PKPDS) dan serbuan imigresen baru-baru ini di tempat lain di bandar.

James Bawi Thang Bik, yang mengetuai Perikatan Pelarian Chin, berkata perkara ini menghalang pendatang asing, terutama mereka yang tidak memiliki dokumen daripada tampil untuk menjalani saringan Covid-19.

“Saya mendapat panggilan bertanyakan sama ada mereka akan ditangkap atau dihantar pulang ke Myanmar.

“Saya tidak boleh beritahu mereka ‘ya’ atau ‘tidak’. Saya hanya boleh menggalakkan mereka untuk menjalani ujian,” beliau memberitahu FMT, beberapa jam selepas polis dan tentera mengepung jalan dan memasang pagar kawat berduri di kawasan itu.

Tindakan menempatkan kawasan pudu di bawah PKPDS berikutan laporan peningkatan kes Covid-19 membabitkan pendatang asing di kawasan sekitar.

PKPDS membenarkan pihak berkuasa menjalankan ujian Covid-19 ke atas penduduk dan pekerja asing. Orang ramai masih dibenarkan melakukan pergerakan masuk dan keluar dari kawasan itu jika mereka mempunyai alasan yang munasabah.

James, yang sedang berusaha menggerakkan bantuan makanan untuk komuniti Chin di Pudu, berkata sebelum PKPDS, pendatang di daerah itu sedia untuk menjalani ujian Covid-19 berikutan mereka mahu kembali bekerja.

Menambah beliau bekerjasama dengan NGO lain untuk memastikan pendatang tanpa dokumen disaring untuk virus itu, James berkata ramai yang bertanya di mana mereka boleh pergi untuk diuji.

“Tetapi sekarang, selepas serbuan sebelum ini, mereka takut pihak berkuasa akan mengetuk pintu dan menggari mereka. Jadi sekarang mereka takut walaupun untuk disaring.”

Sebagai ketua mereka, James menambah beliau tidak dapat berjanji kepada komuniti itu mereka tidak akan ditangkap.

“Apabila seorang pemanggil bertanya saya mengenai perkara itu pagi tadi, saya menangis kerana saya tahu jawapannya tapi saya tak dapat beritahu mereka.”

Terdapat kira-kira 2,000 pendatang etnik Chin di Pudu, kira-kira 300 daripada mereka tinggal di kawasan di bawah PKPDS.

Menurut James, kira-kira 50% daripada mereka tidak memiliki dokumen dan menunggu untuk mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Serbuan pada awal minggu ini di kawasan sekitar pasar borong Selayang di Kuala Lumpur menyaksikan lebih 1,000 pendatang tanpa dokumen ditahan, termasuk 98 kanak-kanak.

Dua kejiranan di kawasan itu dan juga sebahagian dari kawasan Chow Kit diletakkan di bawah sekatan yang serupa pada awal bulan ini.