Gara- gara pakai topeng ketika jogging lelaki hampir maut dek paru-paru bocor

Pakai topeng jika berada di luar rumah satu keperluan ketika ini, namun pakai ketika jogging boleh memudaratkan diri sendiri.

Penularan wabak Covid-19 mula mengajar kita semua hidup dengan “kebiasaan baru” dan lebih sihat seperti menjaga jarak, mengelak daripada bersentuhan dan memakai topeng apabila keluar dari rumah.

Namun, sejauh manakah topeng boleh membawa kita jauh daripada sebarang bahaya?

Baru-baru ini, seorang lelaki terpaksa menjalani pembedahan setelah mengalami kebocoran pada paru-paru ketika dia membuat larian sejauh 4km sambil memakai topeng muka di Wuhan.

Lelaki yang berusia 26 tahun itu dikatakan dimasukkan ke Hospital Wuhan setelah dia mengalami sakit dada dan sesak nafas.

Untuk pengetahuan, kebocoran paru-paru ini lebih dikenali sebagai pneumothorax.

Sekiranya ia berlaku, seseorang akan mengalami kesukaran untuk bernafas kerana paru-paru tidak dapat mengembang secara normal sehingga menyebabkan kekurangan oksigen dalam paru-paru.

Ia biasanya akan berlaku pada penderita asma, fibrosis kistik dan radang paru-paru sahaja.

Namun, ia juga boleh menyerang mereka yang tidak mempunyai penyakit paru-paru yang jelas terutamanya lelaki yang mempunyai badan kurus, tinggi dan perokok.

Apabila ujian awal dijalankan, doktor mendapati paru-paru kiri lelaki tersebut telah mengalami tekanan sehingga 90% dan jantungnya pula telah bergerak ke bahagian kanan tubuhnya.

Difahamkan, lelaki yang lebih dikenali sebagai Zhang Ping itu sudah mula berlari pada 14 hari yang lalu, secara berperingkat untuk meningkatkan jarak yang dilalui setiap larian.

Dia juga dikatakan memakai topeng setiap kali melakukan larian untuk mengelakkan diri daripada dijangkiti.

Namun, khamis lalu Zhang dikatakan berhenti berlari kerana mengalami kesukaran untuk bernafas dan mengambil keputusan untuk pulang ke rumah.

Oleh kerana keadaannya yang makin teruk, keluarganya membuat keputusan untuk terus menghantar dia ke hospital.

Pakar perubatan percaya bahawa keadaan ini mungkin berlaku berpunca daripada pemakaian topeng ketika membuat larian sehingga menyebabkan peningkatan tekanan secara tiba-tiba pada paru-paru lelaki itu.

Bagaimanapun keadaan Zhang kini dikatakan sudah semakin stabil.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]