Hari Belia: PM hargai sumbangan generasi muda bantu masyarakat ketika Covid-19

Dalam perutusan Hari Belia 2020, perdana menteri berkata, ramai belia terlibat sebagai petugas barisan hadapan dalam sektor kesihatan, keselamatan, kebersihan, kesukarelaan dan kemasyarakatan, selain menyumbang idea kreatif dalam membantu mempermudahkan urusan sesama rakyat. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menzahirkan penghargaan kepada golongan belia pelbagai kaum yang tampil membantu masyarakat sepanjang tempoh negara menangani wabak Covid-19.

Katanya, ramai belia terlibat sebagai petugas barisan hadapan dalam sektor kesihatan, keselamatan, kebersihan, kesukarelaan dan kemasyarakatan, selain menyumbang idea kreatif dan berinovasi dalam membantu mempermudahkan lagi urusan sesama rakyat.

“Para pemimpin belia, agamawan muda dan artis belia yang berpengaruh di media sosial turut memberi sokongan dengan kempen “stay at home”, “duduk rumah” dan “kekal tenang” sebagai usaha dalam memberi kesedaran kepada rakyat tentang kepentingan untuk menjayakan usaha perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

“Anda semua adalah wira yang tidak didendang,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Belia Negara 2020, hari ini.

Justeru, beliau berharap warga belia terus menyerlah dengan sikap berdaya saing dan menjadi aset kepada negara.

Muhyiddin berkata, belia pada hari ini juga perlu menerima, menghayati dan mengambil bahagian dalam normal baru yang sedang berlaku susulan penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia.

Beliau berkata, gaya hidup dan cara bekerja yang dahulu perlu berubah, sesuai dengan keadaan semasa terutama pada masa pelaksanaan PKPB di seluruh negara.

“Sebab itu kerajaan mengambil langkah proaktif bukan sahaja untuk menghentikan penularan wabak Covid-19, tetapi memastikan golongan belia tidak tercicir dalam meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan hasil tinjauan Kementerian Belia dan Sukan melalui Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia pada Mac menunjukkan 95.8% belia menyokong inisiatif bantuan kewangan kerajaan menerusi langkah tambahan pakej rangsangan ekonomi untuk mengupayakan ekonomi belia yang terjejas akibat Covid-19, manakala 78.7% belia pula melihat inisiatif kerajaan itu mampu meningkatkan semula ekonomi negara.

“Dapatan ini sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa perancangan yang dibuat kerajaan ini selari dengan harapan golongan belia.

“Namun, saya yakin, masih banyak lagi usaha yang perlu kita laksanakan bersama bagi menangani keadaan selepas wabak Covid-19 berakhir,” katanya sambil berharap peruntukan hampir RM10 bilion yang diumumkan kerajaan sebelum ini dapat dimanfaat golongan belia.

Sementara itu, perdana menteri berkata, sambutan Hari Belia Negara tahun ini ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan ekoran negara masih berjuang menangani wabak itu.

Jelasnya, perancangan awal untuk sambutan Hari Belia 2020 dibuat dengan tema “Dekad Ini, Dekad Anda” menggambarkan kesungguhan kerajaan untuk berganding bahu mengiktiraf golongan belia sebagai penyumbang utama kepada hala tuju pembangunan negara.