Hospital swasta di KL disiasat jual topeng RM11.20 sekeping

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Iskandar Halim Sulaiman berkata orang ramai mengadu dikenakan RM201.60 bagi 18 keping topeng 3 lapisan. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang menyiasat sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur yang didakwa mengenakan harga topeng 3 lapisan melebihi harga maksimum ditetapkan.

Pengarahnya, Iskandar Halim Sulaiman berkata pemeriksaan itu susulan aduan orang ramai yang dikenakan bayaran RM201.60 bagi 18 keping topeng 3 lapisan.

“Harga itu terlalu tinggi, iaitu bersamaan RM11.20 sekeping berbanding harga maksimum yang ditetapkan sebanyak RM1.50 sekeping,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, beberapa dokumen berkaitan transaksi dan juga topeng disita daripada hospital swasta itu bagi tujuan siasatan.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi kesalahan di bawah Seksyen 11, iaitu menjual atau menawarkan untuk menjual barangan harga terkawal (topeng 3 lapisan) melebihi harga maksimum.

Beliau berharap orang ramai dapat menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP dengan melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan melalui 1-800-886-800 atau 03-8882 6088/ 6245 di Enforcement Command Centre (ECC) atau e-mel ke http://e-aduan.kpdnhep.gov.my.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Habibi Majinji berkata pihaknya menerima 24 aduan mengenai kes penipuan jualan topeng serta cecair pembasmi kuman melibatkan kerugian sekitar RM147,329 di daerah itu sejak penularan Covid-19.

Beliau berkata, pengadu tertarik dengan tawaran mendapatkan topeng di media sosial.

“Pengadu kemudiannya membuat pembayaran dalam talian kepada orang yang dianggap penjual, tetapi apabila barangan yang ditempah tidak sampai dan penjual tidak dapat dihubungi, pengadu berasa diperdaya dan seterusnya membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.