Ibadah haji jemaah Singapura ditangguh ke 2021

Kira-kira 2.5 juta jemaah dari seluruh dunia berhimpun di Makkah setiap tahun untuk menunaikan ibadah haji. (Gambar AP)

SINGAPURA: Singapura membuat keputusan menangguhkan rancangan menunaikan ibadah haji tahun ini bagi 900 jemaahnya ke tahun depan berikutan penularan Covid-19, kata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) hari ini.

Muis memaklumkan keputusan itu dibuat dengan persetujuan Jawatankuasa Fatwa dan rundingan Kementerian Kesihatan (MOH).

Katanya, Jawatankuasa Fatwa mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dan menyokong keputusan menangguhkan ibadah haji untuk jemaah Singapura ke tahun depan demi kesihatan dan keselamatan jemaah.

“Jawatankuasa ini berpendapat dalam konteks semasa, bukan semua prasyarat untuk ibadah haji yang selamat dapat dipenuhi, justeru mereka mengesyorkan jemaah Singapura menangguhkan rancangan menunaikan ibadah itu bagi mengelak sebarang kemungkinan memudaratkan.”

Muis berharap keputusan awal itu dapat membantu meredakan kebimbangan jemaah dan keluarga mereka mengenai rancangan ibadah itu tahun ini.

Ia berkeyakinan penuh terhadap kerajaan Arab Saudi dalam pengurusan pandemik itu dan langkah sesuai akan diambil jika haji diteruskan.

Bagaimanapun, Singapura mempunyai pertimbangan sendiri untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan jemaahnya.

Muis berkata, lebih 80% jemaah Singapura yang dijadualkan mengerjakan ibadah haji tahun ini berumur 50 tahun ke atas.

Katanya, MOH menasihatkan individu dalam kategori ini berdepan risiko komplikasi dan kematian lebih besar jika dijangkiti virus Covid-19.

Menurutnya, ibadah haji tahunan melibatkan perhimpunan kira-kira 2.5 juta jemaah dari seluruh dunia di Makkah.

“Ini adalah perhimpunan berskala besar melibatkan jemaah dari seluruh dunia. Seperti kes perjalanan ke luar negara, terdapat risiko buat jemaah Singapura yang ingin menunaikan ibadah haji dijangkiti virus itu.”

Muis difahamkan setakat hari ini, Riyadh belum membuat pengumuman rasmi mengenai status ibadah haji tahun ini.

Mac lalu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memaklumkan agensi pengurusan haji di seluruh dunia untuk berhenti mengambil tempahan baru atau bayaran mengerjakan ibadah haji tahun ini.

Muis berkata, Saudi Airlines turut mengumumkan penangguhan semua penerbangan antarabangsa sehingga diberitahu.