Imam degil walapun positif Covid-19 tetap ketuai solat berjemaah!

Seorang lelaki di Indonesia berumur 82 tahun diuji positif Covid-19 namun dia masih tekad untuk menjadi imam solat tarawih di masjid kejiranannya. (Gambar Twitter)

Ada masa sesetengah orang memang tidak boleh lari daripada sifat degilnya.

Namun tidak kira betapa kuatnya pemahaman agama seseorang, dia tetap akan ada kelemahan yang akhirnya membawa masalah kepada komuniti sekeliling.

Seorang lelaki di Indonesia yang dirahsiakan namanya, berumur 82 tahun diuji positif Covid-19 setelah menjalani ujian di hospital.

Namun, dia masih tekad untuk menjadi imam solat tarawih di masjid kejiranannya.

Dia yang tinggal di Jembatan Besi, Tambora, Jakarta Barat diminta untuk menjalani ujian bersama-sama dengan isterinya setelah anak lelakinya diuji positif Covid-19 pada ujian pertama.

Namun Khamis lalu, anaknya dibenarkan untuk pulang setelah diuji negatif oleh pihak hospital.

Hasil daripada ujian, dia dan isteri dilaporkan positif oleh pihak hospital.

Namun dia menolak untuk menerima keputusan tersebut.

Tidak cukup dengan itu, lelaki ini juga melarang pihak hospital dari membawanya ke Pusat Kesihatan Masyarakat Jambatan Besi untuk tujuan kuarantin daripada masyarakat.

Ketua Daerah Tambora Bambang Sutama berkata kepada media lelaki itu menolak untuk menerima keputusan hospital disebabkan dia merasa dirinya sihat.

Lebih teruk lagi, dia dengan senang hati memimpin solat terawih berjemaah di masjid.

Dan disebabkan sifat degil lelaki berumur 82 tahun ini untuk ditahan di hospital, hampir 28 jemaah yang mengikutinya ketika solat terawih berada di bawah pemantauan pihak berkuasa tempatan.

Ketua Jambatan Besi Tarcius Iwan mengatakan 28 jemaah ini akan menjalani kuarantin di rumah masing-masing.

Pihak Pemerintah Provinsi DKI Jakarta dilaporkan kecewa dengan kejadian ini.

Mereka juga meminta orang ramai agar mematuhi Fatwa Majlis Ulama Indonesia mengenai ibadah di rumah semasa wabak Covid-19.

Kata Ketua II Pasukan Petugas Penanganan Covid-19, Catur Laswanto bahawa fatwa MUI 14 tahun 2020 memperuntukkan ahli masyarakat tidak dibenarkan untuk melakukan sebarang aktiviti ibadah di masjid atau tempat-tempat awam selama wabak Covid-19 berlanjutan.

Fatwa MUI bertarikh 16 Mac 2020 itu turut diisi dengan peringatan umat Islam harus berusaha menjauhkan diri daripada segala perkara yang boleh menyebarkan penyakit.

Selain itu, haram bagi orang yang dijangkiti wabak Covid-19 untuk mengikuti solat terawih secara berjemaah di masjid.

Untuk rekod, Indonesia kini sudah mempunyai lebih 15,000 kes dan lebih 1,000 kematian dicatatkan.

Kerajaan Indonesia juga melarang rakyatnya dari pulang ke kampung bagi meraikan Aidilfitri.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]