Individu bujang dilarang rentas negeri jumpa keluarga

Jalan di tol utama dilakukan sekatan semula bagi menghalang pihak tidak bertangungjawab melakukan perjalanan rentas negeri.

PUTRAJAYA: Kerajaan masih tidak membenarkan individu bujang melakukan perjalanan rentas negeri untuk menziarahi ahli keluarga di kampung.

Menteri Pertahanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran merentas negeri ketika ini hanya melibatkan pasangan suami isteri yang bekerja berjauhan.

“Bujang rindu dekat siapa? kita benarkan keluarga terpisah dari segi kemanusiaan, kita faham ada pasangan (suami atau isteri) di mana anak-anak hampir 2 bulan tak jumpa ibu atau bapa akibat peraturan kita tidak membenarkan rentas negeri.

“Sabar sikit, kalau ada kelonggaran kita bagi (rentas negeri) tapi setakat hari ini tidak ada lagi kelonggaran untuk individu bujang,” katanya.

Ismail berkata, jalan di tol utama juga dilakukan sekatan semula bagi menghalang pihak tidak bertangungjawab melakukan perjalanan rentas negeri.

“Mana-mana pihak yang melakukan perjalanan rentas negeri tanpa kebenaran polis akan diambil tindakan.

“Pihak polis boleh mengenakan kompaun termasuk berdepan tindakan mahkamah,” katanya mengulas terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan melakukan perjalanan rentas negeri untuk pulang ke kampung.

Kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri bagi suami atau isteri untuk bertemu keluarga masing-masing seminggu sekali sahaja.

Katanya, bagi mereka yang berhasrat berbuat demikian perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran.