Kajian: Pekerja cuti tanpa gaji, hilang kerja ketika PKP alami emosi negatif

PKP yang dilaksanakan pada Mac bagi mengekang penyebaran Covid-19 memberi kesan yang besar kepada ekonomi.

PETALING JAYA: Satu kajian mengenai kesihatan mental dan perubahan dalam situasi pekerjaan dan kewangan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), baru-baru ini menunjukkan lebih separuh responden melaporkan pengurangan pendapatan selain mengalami emosi negatif seperti kebimbangan, kemurungan dan tekanan.

Kajian kumpulan penyelidik The Center dilakukan ketika fasa ke-2 PKP dari 1 hingga 14 April. Hasil kajian berdasarkan kepada tindak balas 720 responden, sub sampel daripada kumpulan yang lebih besar membabitkan 1,084 responden.

Berdasarkan dapatan itu, responden melahirkan kebimbangan mengenai situasi kewangan mereka bagi jangka sederhana dan panjang, termasuk kemampuan untuk menyara tanggungan; membayar sewa, gadai janji atau pinjaman dan keupayaan untuk menangani kecemasan kesihatan.

Mereka yang bercuti tanpa gaji dilaporkan mengalami tahap kemurungan yang tinggi sementara mereka yang hilang kerja melaporkan tahap kebimbangan dan tekanan yang tinggi.

Pekerja separuh masa mengalami perubahan yang paling tinggi berhubung status pekerjaan mereka, dengan 27% melaporkan mereka tidak boleh bekerja, 20% melaporkan mereka bercuti tanpa gaji atau dikurangkan gaji dan 7% mengatakan mereka hilang kerja.

Pelajar dan penganggur mengalami kesejahteraan mental yang negatif, dengan responden dalam kalangan pelajar menyatakan kekurangan peluang pekerjaan adalah salah satu kebimbangan utama mereka selepas PKP.

“Hakikatnya, PKP dan krisis Covid-19 mendedahkan betapa gentingnya isu kesihatan dan kesejahteraan mental di kalangan rakyat Malaysia. Isu ini pasti melangkau tempoh PKP, lebih-lebih lagi dengan masalah ekonomi yang mendatang,” kata The Centre dalam satu kenyataan.

“Pusat ini berharap agar kerajaan terus meningkatkan upaya untuk menangani kesehatan mental dalam jangka panjang dan memberi kesan yang berkekalan.

“The Centre berharap pihak kerajaan meneruskan usaha untuk menangani isu kesihatan mental secara jangka masa panjang dan dengan berkesan.”

Katanya, usaha itu termasuk mengambil kira pendekatan berdasarkan komuniti dan sokongan yang tersasar kepada golongan yang paling terjejas.

Kumpulan itu juga mencadangkan peningkatan infrastruktur kesihatan mental, kefahaman dan sokongan bagi membolehkan pendekatan yang lebih komprehensif untuk menguruskan kesihatan mental di negara ini.