Kebenaran solat berjemaah mungkin ditarik balik jika gagal patuh SOP

Mulai hari ini, semua masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di zon hijau di Wilayah Persekutuan boleh mendirikan solat Jumaat.

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak menolak kemungkinan menarik balik kebenaran solat berjemaah ke atas masjid yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menteri Pertahanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata tahap kepatuhan kepada SOP yang ditetapkan akan dinilai terlebih dahulu melalui laporan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Berkemungkinan, walaupun baru diberi kelonggaran kalau banyak kawasan langgar SOP, tidak mustahil perkara yang dibenar ditarik balik, tapi menteri agama akan maklum dulu.

“Hari ini hari pertama kita benarkan, jadi kita belum dapat laporan secara terperinci dari menteri agama, jadi SOP telah dikeluarkan,” katanya ketika sidang media, hari ini ketika diminta mengulas ketidakpatuhan orang ramai di hari pertama kebenaran solat berjemaah.

Katanya, pihaknya juga mempertimbang untuk meletakkan polis atau badan beruniform yang lain bagi memantau kawasan masjid bagi memastikan setiap SOP dipatuhi.

Semalam, Zulkifli mengumumkan semua masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di zon hijau di Wilayah Persekutuan boleh mendirikan solat Jumaat, solat berjemaah setiap waktu termasuk solat sunat tarawih serta solat sunat Aidilfitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, solat lain secara berjemaah boleh dilaksanakan secara berperingkat bermula selepas solat Jumaat esok, berdasarkan cadangan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-5.

Bagaimanapun, beliau berkata, bilangan jemaah bagi solat Jumaat dan lain-lain solat berjemaah adalah tidak kurang daripada 3 orang, tidak termasuk imam dan tidak lebih daripada 30 orang.

Bagi negeri lain, SOP dan kebenaran akan diputuskan pihak berkuasa negeri masing-masing.

Rumah ibadat agama lain

Ketika ditanya adakah kerajaan akan membenarkan rumah ibadat agama lain diberi kelonggaran selepas pelaksanaannya ia dibuat ke atas agama Islam, Ismail berkata SOP sedang diteliti menteri perpaduan.

“Menteri perpaduan akan melihat SOP ini dan diarahkan oleh Kabinet supaya melakukan perbincangan dengan kepimpinan 5 agama yang besar di Malaysia, Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan Taoisme.

“Saya difahamkan esok dalam mesyuarat khas menteri atau selewatnya Selasa depan akan diputuskan (SOP) dan selepas itu kita akan buat keputusan,” katanya.

Benar penggambaran belum muktamad

Mengulas kebenaran aktiviti penggambaran bagi industri perfileman, Ismail berkata perkara itu belum dimuktamadkan dan masih di peringkat perbincangan termasuk mendapat nasihat daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kita belum putuskan untuk beri kebenaran sebab banyak pertimbangan perlu dilihat, sebab mungkin akan berlaku tidak ada penjarakkan sosial, sebab ia melibatkan ramai pihak kalau kita benarkan.

“Jadi setakat ini kita tangguhkan dulu, mungkin selepas raya nanti kita pertimbangkan semula.

“Kita tahu ramai di kalangan warga industri perfileman menghadapi masalah dari segi pendapatan,” katanya.