KSN: Kerajaan timbang guna teknologi dalam perkhidmatan awam pasca Covid-19

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali berkata, penggunaan teknologi dalam perkhidmatan awam selepas tamat wabak Covid-19 boleh menjimatkan peruntukan membina ruang pejabat baru dan tidak memerlukan kos peralatan tinggi.

KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi dalam perkhidmatan awam yang kini menjadi normal baru ketika negara berhadapan wabak Covid-19 boleh dipertimbang untuk dipraktikkan pasca pandemik itu.

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali berkata, penggunaan teknologi seperti mesyuarat melalui sidang video diperkenalkan dalam sektor kerajaan sebelum ini, namun kini ia digunakan sepenuhnya dan banyak memberikan manfaat ketika wabak Covid-19.

“Dulu kita tidak terfikir tentang keperluan bekerja dari rumah atau mesyuarat secara maya, walaupun ia telah lama wujud. Jadi kita jangan sia-siakan peluang yang ada ini, supaya normal baru ini dapat membantu kita memastikan kelancaran dan khidmat kepada masyarakat tidak terganggu.

“Kerajaan boleh mempertimbangkan penggunaan teknologi ini selepas tamatnya Covid-19 supaya boleh menjimatkan lagi peruntukan membina ruang pejabat yang baru dan tidak memerlukan kos peralatan yang tinggi oleh kerana memerlukan sedikit pegawai untuk hadir ke pejabat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir dalam program Bicara Naratif Bersama KSN: Norma Baru yang disiarkan di TV1 RTM, malam tadi.

Dalam pada itu, Mohd Zuki berkata, sektor awam perlu menjadi contoh kepada sektor swasta dalam mengikuti garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

“Kalau kita tidak dapat memberikan teladan yang baik, bagaimana kita nak pastikan orang lain mengikut apa yang kita laksanakan,” katanya.