Lelaki hina TYT Sabah dipenjara 8 bulan

Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin

KOTA KINABALU: Tindakan seorang lelaki menghina dan memburuk-burukan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin melalui aplikasi Whatsapp membawa padah apabila dia dihukum penjara 8 bulan oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Majistret Afiq Agus menjatuhkan hukuman itu terhadap Jolay Bonar, 51, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan itu pada 22 Nov tahun lalu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memuat naik hantaran yang menghina dan memburuk-burukkan Juhar di kumpulan Whatsapp iaitu UMPASTAR PRU15 pada hari berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Anuar Abdul Halim dan Jolay tidak diwakili peguam.