Malaysia beli 100,000 tan beras dari India, tertinggi dalam 5 tahun

Malaysia mengimport lebih banyak beras dari India tahun ini selepas negara seperti Myanmar, Vietnam dan Kemboja menyekat pengeksportan beras buat sementara ketika krisis Covid-19.

PETALING JAYA: Malaysia menandatangani satu kontrak mengimport 100,000 tan beras dari India, jumlah paling banyak dalam 5 tahun ini.

Beras itu dijangka dihantar dalam bulan ini dan bulan depan, kata pegawai industri kepada Reuters.

Agensi berita itu berkata, ini adalah tanda hubungan perdagangan kedua-dua negara bertambah baik selepas pertikaian diplomatik terdahulu.

Pembelian tahun ini sekali ganda lebih banyak daripada jumlah beras tahunan yang diimport Malaysia dari India sejak 5 tahun lalu.

Ini selepas negara seperti Myanmar, Vietnam dan Kemboja menyekat pengeksportan beras buat sementara ketika krisis Covid-19.

Reuters melaporkan pembelian Malaysia itu akan mengurankan simpanan stok beras di India yang merupakan pengeksport beras terbesar di dunia.

“Selepas sekian lama, Malaysia melakukan pembelian besar dari India,” kata BV Krishna Rao, presiden Persatuan Pengeksport Beras India.

Rao dan pegawai dari 3 syarikat lain menjangkakan pengimportan Malaysia dari India akan meningkat kepada 200,000 tan tahun ini susulan perjanjian terbaru itu.

Secara purata, Malaysia membeli 53,000 tan beras dari India setiap tahun dalam tempoh 5 tahun lalu.