Masjid di Singapura terus ditutup ketika Aidilfitri

Kain rentang yang digantung di luar Masjid Sultan di Singapura bagi memaklumkan penutupannya. (Gambar AP)

SINGAPURA: Semua masjid di Singapura kekal ditutup pada Aidilfitri berikutan sambutan perayaan itu masih dalam tempoh pemutus rantaian Covid-19.

Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam satu kenyataan berkata, kebiasaannya pada pagi Hari Raya, umat Islam akan ke masjid menunaikan solat Aidilfitri, bertakbir dan mendengar khutbah.

Tahun ini, mereka akan menyambut Hari Raya di rumah masing-masing bersama ahli keluarga yang tinggal di rumah sama.

“Mereka boleh menyertai takbir secara langsung menerusi stesen radio Melayu, Warna 94.2 FM atau secara dalam talian melalui Facebook masjid tempatan.”

Muis berkata, selepas solat Aidilfitri di rumah, Mufti Nazirudin Mohd Nasir akan memimpin khutbah Hari Raya yang disiarkan secara langsung menerusi radio dan beberapa saluran dalam talian seperti SalamSG TV.

“Ini merupakan kali pertama ia dilakukan dengan cara ini di Singapura.”

Umat Islam di Singapura akan menyambut Aidilfitri pada 24 Mei ini, iaitu dalam tempoh 8 minggu pelaksanaan pemutus rantaian yang dijadualkan berakhir 1 Jun nanti.

Muis mengingatkan umat Islam supaya mematuhi larangan berhimpun di tempat awam dan persendirian serta mengelakkan tradisi kunjung-mengunjung dan berkumpul ketika meraikan Aidilfitri.