Noor Hisham nasihat rakyat beraya secara sederhana di rumah
Ketua pengarah kesihatan berkata, walaupun agak janggal dan berbeza daripada kelaziman, tetapi ia dapat melindungi keluarga daripada Covid-19.
PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan rakyat menyambut Hari Raya secara sederhana dan tertutup di rumah sendiri serta mengelakkan menerima pengunjung bagi membendung penularan Covid-19.
Katanya, walaupun agak janggal dan berbeza daripada kelaziman beraya, tetapi ia dapat melindungi keluarga daripada dijangkiti virus itu.
Beliau turut menasihatkan penduduk di zon merah yang bercadang melawat ahli keluarga di kawasan lain supaya tidak berbuat demikian demi keselamatan keluarga dan masyarakat setempat.
“Kita boleh lakukan perintah berkurung di rumah sendiri untuk memastikan tiada orang luar berkunjung ke rumah kita. Ini merupakan inisiatif yang sangat baik, jika orang ramai dapat lakukan.
“Sekiranya kita mengambil semua langkah berjaga-jaga, saya yakin kita dapat mencegah penularan Covid-19 dan melindungi ahli keluarga,” katanya pada taklimat harian Covid-19 hari ini.
Hisham berkata, tindakan Putrajaya mengehadkan 20 individu untuk aktiviti ziarah pada Hari Raya sekadar relatif untuk memastikan rakyat tidak bersesak di tempat sempit dengan ruang terhad.
“Bukan (soal) 20 orang, (ia hanya) satu ukuran sesuai untuk semua kerana bergantung kepada rumah anda.
“Sekiranya cukup besar tidak ada masalah, di mana fokusnya adalah ahli keluarga, bukan pelawat.”
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Kerajaan sebelum ini membenarkan aktiviti ziarah pada Hari Raya pertama, tetapi jumlahnya dihadkan kepada 20 orang pada satu-satu masa.