P Pinang benar pelanggan makan di restoran mulai 18 Mei

Pemilik restoran diwajib merekodkan nama dan nombor telefon pelanggan bagi membolehkan pengesanan kontak sekiranya perlu.

GEORGE TOWN: Bermula Isnin depan, semua restoran di Pulau Pinang dibenarkan menerima pelanggan makan di restoran dengan mengenakan langkah-langkah bagi membendung Covid-19 daripada terus menular.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata penjarakkan sosial yang ketat mesti dilaksanakan dengan restoran mesti merekodkan butiran pelanggan yang makan di restoran dan yang membuat pesanan bawa pulang bagi membolehkan pengesanan kontak.

Restoran di Pulau Pinang tetap ditutup untuk pengunjung walaupun terdapat kelonggaran di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan kerajaan persekutuan pada 4 Mei.

Bercakap hari ini, Chow menambah sistem pengesanan kontak yang dibangunkan kerajaan negeri kini sedia untuk digunakan oleh pemilik restoran dan premis perniagaan.

Beliau berkata sistem PGCare adalah buku log digital yang membolehkan pemilik mengambil maklumat pelanggan.

“Sistem ini bukan sahaja menjimatkan masa tetapi juga mengelakkan sentuhan dan memastikan maklumat peribadi tidak disalahgunakan.”

Beliau berkata sistem itu hanya akan merekodkan nama dan nombor telefon pelanggan dan semua maklumat berkenaan hanya boleh diakses oleh kerajaan negeri.

“Premis perniagaan juga tidak dapat mengakses data anda,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata maklumat itu akan diberikan kepada Kementerian Kesihatan sekiranya diperlukan. Data akan disimpan selama 30 hari sebelum ia dipadam secara automatik.

Sistem PGCare dibangunkan dengan kerjasama Ketua Menteri Incorporated dan Madison Technologies dan disokong oleh Maxis Broadband Sdn Bhd.