Peguam bidas NGO kerana desak menteri tarik balik saman

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba memfailkan saman terhadap sebuah NGO sebanyak RM30 juta kerana mengaitkannya dengan kontrak kerajaan yang kini dalam siasatan SPRM.

PETALING JAYA: Beberapa peguam menyelar sekumpulan 39 NGO kerana mendesak menteri kesihatan menarik balik saman terhadap Pusat Membasmi Rasuah dan Kronisme (C4) yang mendakwa beliau menyalahkan kuasa dalam menganugerahkan kontrak kepada sebuah syarikat.

Mereka berkata Dr Adham Baba berhak untuk membersihkan nama beliau daripada dakwaan C4 yang mengaitkannya dengan sebuah syarikat yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kontrak Kementerian Kesihatan (KKM) bernilai RM30 juta.

Adham menuntut ganti rugi juga sebanyak RM30 juta.

Semalam NGO terbabit mendesak Adham menarik balik saman itu “serta-merta dan tanpa syarat”, selain mendakwa menteri berkenaan mengganggu C4.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata, saman sivil “hanyalah percubaan untuk menakut-nakutkan dan menutup mulut pengkritik”.

Bagaimanapun peguam R Kengadharan berkata, saman bukanlah satu bentuk gangguan sekiranya plaintif mendapati komen yang dibantahinya itu adalah fitnah dan mencalarkan reputasi dirinya.

Beliau memberitahu FMT bahawa mahkamah adalah “jalan terbaik” untuk Adham membersihkan namanya.

Beliau mengakui bahawa pemegang jawatan awam tidak boleh menganggap diri mereka tidak boleh dikritik, tetapi berkata, mereka (penjawat awam) juga tidak semestinya “berdiam diri dan menerimanya” jika kritikan yang ditujukan kepada mereka mengandungi unsur fitnah.

Katanya, mahkamah menyediakan peluang adil kepada pihak-pihak yang bertelagah membuktikan dakwaan masing-masing.

“Desakan supaya menteri menarik balik samannya tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.

“Ia adalah permintaan yang tidak masuk akal.”

Dalam pada itu, peguam Rajesh Nagarajan menggesa supaya proses undang-undang dihormati dengan berkata, walaupun C4 berhak mendedahkan maklumat yang dianggapnya betul, namun ia tertakluk kepada undang-undang negara.

Katanya, Adham berhak membuktikan dakwaannya di mahkamah dan dibuat keputusan olehnya.

Mana-mana kenyataan yang merosakkan reputasi orang lain adalah tertakluk kepada undang-undang fitnah, katanya.

“C4 perlu mengemukakan keterangan dan membuktikan bahawa menteri kesihatan sememangnya terlibat dalam perbuatan rasuah,” katanya.

C4 mendakwa wujud hubungan antara syarikat pengkontrak dengan seorang pemegang saham dalam syarikat milik Adham yang mempunyai rangkaian klinik persendirian di Johor.

Ia berkata, pemegang saham itu merupakan pengarah sebuah syarikat lain yang juga dianggotai 2 pengarah syarikat Khazanah Jaya.

Adham berkata, dakwaan itu berniat jahat untuk merosakkan nama baiknya.

SPRM menyiasat beberapa kontrak perolehan peralatan makmal bagi menghadapi wabak Covid-19. Kontrak itu didakwa diberikan secara rundingan terus dengan KKM.