Petrol naik 6 sen, diesel 5 sen lebih tinggi

PETALING JAYA: Kementerian Kewangan mengumumkan harga petrol akan naik 6 sen mulai tengah malam ini, selepas 4 minggu kadarnya dikekalkan.

Harga RON95 meningkat kepada RM1.31 seliter dan RON97 RM1.61 seliter, manakala diesel naik 5 sen kepada RM1.45 seliter.

Kadar baru itu akan berkuat kuasa esok sehingga 22 Mei ini.

Kementerian Kewangan berkata, kenaikan itu disebabkan peningkatan harga minyak diproses, sejajar kenaikan harga minyak mentah dunia.

“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan petang ini.