Presiden Brazil desak tarik sekatan pergerakan sewaktu kes baru Covid-19 cecah 13,944 sehari

Anggota polis memeriksa suhu badan seorang pejalan kaki di pusat pemeriksaan di Niteroi, Brazil pada 11 Mei. (Gambar AP)

BRASILIA: Brazil mencatatkan rekod harian 13,944 kes baru Covid-19 pada Khamis, ketika Presiden Jair Bolsonaro menggesa bos perniagaan supaya menarik balik perintah sekatan pergerakan di pusat kewangan Sao Paulo bagi membantu ekonomi.

Brazil adalah negara paling terjejas teruk di Amerika Latin dengan 202,918 kes virus disahkan dan 13,933 kematian sejak penularan wabak itu bermula, menurut data kementerian kesihatan.

Bolsonaro menyelar kerosakan ekonomi yang disebabkan oleh langkah penjarakan sosial kerajaan negeri dan tempatan, dengan mengadakan kempen untuk membuka semula ekonomi kepada komuniti perniagaan Brazil pada Khamis.

Dalam satu sidang video, beliau memberitahu sekumpulan bos perniagaan supaya “bertegas” dengan gabenor Sao Paulo Joao Doria, yang mengeluarkan arahan penjarakan sosial dan berkata, beliau tidak akan menurut dekri terbaru Bolsonaro untuk membuka semula gimnasium dan salon kecantikan.

“Seorang lelaki sedang menentukan masa depan Sao Paulo,” kata Bolsonaro, merujuk kepada Doria.

“Beliau menentukan masa depan ekonomi Brazil. Dengan segala hormatnya, anda harus memanggil gabenor dan bertegas – bertegas – kerana ini adalah masalah serius, ini adalah perang. Brazil dipertaruhkan.”

Sao Paulo, negeri paling ramai penduduk di Brazil dan merupakan kediaman bagi 1/3 daripada pengeluaran ekonominya menyaksikan hospital dipaksa beroperasi ke tahap maksimum berikutan negara itu merekodkan penularan terburuk.

Doria menggesa penduduk supaya duduk di rumah dan memerintahkan semua perkhidmatan bukan teras ditutup sehingga 31 Mei.

Namun Bolsonaro berusaha untuk melemahkan perintah tersebut dengan mengumumkan lebih banyak perkhidmatan sebagai “perlu” dan bebas dibuka, termasuk gimnasium dan salon rambut.

Doria adalah salah seorang daripada sekurang-kurangnya 10 gabenor yang berkata mereka tidak akan mematuhi dekri Bolsonaro.

Kerajaan Brazil mengurangkan jangkaan pertumbuhan ekonominya minggu ini, iaitu penguncupan 4.7% pada 2020, penurunan tahunan terburuk sejak 1900.

Bolsonaro berkata, tidak mustahil untuk berpatah balik dan menghindari apa yang disifatkannya sebagai kekacauan ekonomi dalam beberapa bulan akan datang.

“Adakah rakyat akan mati? Malangnya, rakyat akan mati. Malangnya, tidak kira apa sekalipun, dengan sekatan pergerakan atau tidak, kita akan terus kehilangan nyawa,” kata Bolsonaro.

“Sekarang jumlah nyawa yang akan hilang akibat kekacauan ekonomi, kerana sekatan pergerakan, akan jauh lebih besar.”