Tangguh rancangan balik kampung, pengarah kesihatan beritahu warga Sabah

Bermula 13 Mei, individu yang memasuki Sabah, termasuk pelajar dari semenanjung, dikehendaki menjalani kuarantin selama 14 hari di lokasi yang diwartakan. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Christina Rundi menggesa orang ramai yang merancang untuk pulang ke negeri itu supaya menangguhkannya selepas 10 individu yang kembali dari semenanjung didapati dijangkiti Covid-19 baru-baru ini.

Christina berkata, pihak bekuasa kesihatan negeri juga menerima banyak pertanyaan mengenai langkah berkaitan perjalanan udara ke Sabah dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Jika mereka tidak boleh menangguhkan perjalanan, maka mereka hendaklah mengamalkan penjarakan sosial, memakai topeng, menjaga kebersihan tangan dan mengamalkan cara batuk yang selamat.

“Orang ramai juga perlu memastikan mereka menjalani saringan dan diperiksa suhu badan di pintu masuk,” katanya pada taklimat harian beliau di sini lewat malam tadi.

Dr Christina Rundi

Pertambahan mendadak 10 pesakit terbaru itu menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negeri itu 330 orang.

Pada 13 Mei, 2 kes baru dicatatkan dalam kalangan pelajar UMS. Sehingga kini 3 pelajar universiti itu disahkan positif Covid-19.

Berhubung perkara itu, Christina berkata, pihaknya akan terus mengambil langkah pencegahan dan menjalankan aktiviti kawalan dalam kalangan pelajar di pusat pengajian tinggi.

Beliau berkata, pejabat kesihatan Penampang dan agensi lain mengambil langkah terbaik bagi memastikan pelajar yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu diurus dengan baik.

Sampel swab akan diambil di lapangan terbang, sementara proses penilaian dijalankan di balai polis Penampang bagi menentukan pelajar terbabit ditempatkan di pusat kuarantin yang sesuai,” katanya.

Berkuat kuasa 13 Mei lepas, individu yang memasuki Sabah, termasuk pelajar dari semenanjung, dikehendaki menjalani kuarantin selama 14 hari di lokasi yang diwartakan.