Tarikh PRK DUN Chini ditetapkan 4 Julai

PETALING JAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini akan berlangsung pada 4 Julai depan, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun.

Azhar berkata hari penamaan calon ditetapkan pada 20 Jun depan, manakala hari mengundi awal pula pada 30 Jun dengan tempoh masa berkempen selama 14 hari.

“Bagi urusan permohonan undi pos dari luar negara dan dalam negara, tarikh buka operasi adalah pada 15 Mei dan tarikh tutup adalah pada 18 Jun depan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Bagi penamaan calon dan proses pengundian, SPR bersetuju menggunakan Dewan Utama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, Pahang sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.

Azhar berkata, seramai 832 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK ini manakala 14 pusat mengundi yang mengandungi 66 saluran akan digunakan untuk kemudahan mengundi.

SPR turut menjangkakan, PRK DUN Chini memerlukan peruntukan sebanyak RM4.3 juta dan daftar pemilih yang digunakan adalah dari data pemilih induk 2019 yang dikemaskini hingga 7 Mei lalu.

“Pemilih tersebut mengandungi 20,900 pengundi yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 orang pengundi awal terdiri daripada polis,” katanya.

Azhar menambah, SPR akan memastikan setiap proses PRK DUN Chini selari dengan langkah usaha menghentikan penyebaran Covid-19 sebagai mana dinasihatkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Prosedur operasi standard (SOP) sedang diteliti KKM dan akan dimuktamadkan bagi tujuan pemakaian dalam PRK DUN Chini kali ini,” katanya.

Bagaimanapun SPR turut mencadangkan beberapa langkah untuk pertimbangan KKM, antaranya menghadkan jumlah maksimum sebanyak 400 orang pengundi daripada 600 pengundi bagi setiap 1 saluran mengundi.

“SPR akan tambah maklumat tambahan baru dalam kertas mengundi, iaitu masa mengundi yang digalakkan. Pengundi digalakkan keluar mengundi dalam tempoh tersebut.

“Ia dibuat bagi memastikan pematuhan penjarakkan sosial dan mengurangkan kesesakan di pusat mengundi serta saluran mengundi,” katanya.

Untuk memudahkan proses penamaan calon, SPR turut menggalakkan bakal calon bertanding mengisi dan menyemak borang penamaan calon sebelum hari penamaan calon berlangsung.

“Bakal calon juga dicadangkan membuat pembayaran deposit secara atas talian lebih awal. Ini memastikan proses penamaan lebih berjalan dan lancar.

“Namun, kertas penamaan calon yang lengkap dan diisi pejabat pegawai pengurus hendak dikemukakan calon atau penyokong dan pencadang semasa penamaan calon di pusat penamaan calon,” katanya.

PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur pada 6 Mei lalu.

Pada PRU14, Abu Bakar memperoleh 10,027 undi, menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi.