Tiada lagi zon merah Covid-19 di Sarawak

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak berkata, pelajar yang pulang dari Semenanjung, Sabah dan Labuan akan menjalani ujian saringan susulan kemunculan ‘kluster IPT’ baru.

KUCHING: Tiada lagi zon merah Covid-19 di Sarawak selepas kes baru berkurangan di Kuching.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak berkata, Kuching yang merupakan zon merah terakhir di negeri itu, kini diklasifikasikan zon kuning selepas daerah itu melaporkan kurang daripada 40 kes positif dalam 14 hari lalu.

Sarawak kini mempunyai 33 zon hijau dan 7 zon kuning.

Bagaimanapun, sejak “kluster IPT” baru dilaporkan selepas beberapa pelajar universiti dijangkiti virus itu, jawatankuasa terbabit memutuskan untuk menyaring semua pelajar yang pulang dari Semenanjung, Sabah dan Labuan.

“Mereka akan disaring dan diminta menjalani kuarantin di hotel sehingga keputusan mereka keluar,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Douglas Uggah Embas dalam taklimat hariannya hari ini.

“Jika ujian mereka negatif, mereka akan diberikan gelang kod QR dan dibenarkan pulang ke rumah dan menghabiskan baki tempoh kuarantin mereka di sana.”

Setakat ini, Uggah berkata, seramai 4,931 pelajar dari Semenanjung, Sabah dan Labuan, serta 1,451 yang melanjutkan pelajaran dalam negeri itu, sudah pulang ke kampung halaman masing-masing.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Dr Sim Kui Hian, yang turut bertanggungjawab ke atas hal kesihatan, berkata kerajaan negeri sudah tampil dengan aplikasi pengesanan kontak untuk membendung kemungkinan berlaku gelombang kedua Covid-19 di negeri itu.

Aplikasi itu yang dikenali sebagai “Covid Trace App Versi Satu” mampu membantu menjejaki kedudukan seseorang dan mengesan sesiapa saja yang pernah menjadi kontaknya dalam jarak 3m selain mendapatkan nombor telefon mereka.

Sim berkata, aplikasi itu juga dapat membantu pihak berkuasa melakukan pengesanan kontak bagi kes positif dengan semua maklumat akan disimpan dalam telefon selama 21 hari.

Beliau menggesa rakyat memuat turun aplikasi itu dan menghidupkan Bluetooth mereka sebagai sebahagian usaha melawan virus itu.

Katanya, kerajaan negeri akan membangunkan versi kedua teknologi itu yang akan membolehkan pemilik kedai mengimbas kod QR sebelum pembeli dibenarkan memasuki premis mereka.

Semalam, Sim mengumumkan kerajaan negeri mewartakan Ordinan Perlindungan Kesihatan Awam yang akan berkuat kuasa sehingga 9 Jun ini untuk membendung kemungkinan berlaku gelombang kedua Covid-19.

Di bawah ordinan itu, katanya, ia menjadi satu kesalahan untuk mereka yang memakai gelang kod QR itu tidak duduk di rumah.