317 kanak-kanak 12 tahun ke bawah dijangkiti Covid-19

Kanak-kanak boleh dijangkiti Covid-19 daripada ahli keluarganya.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan berkata sehingga hari ini, 317 kes positif Covid-19 adalah dalam kalangan kanak-kanak 12 tahun ke bawah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham berkata berkata selain warga emas, kanak-kanak dan bayi juga merupakan kumpulan berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19.

“Kanak-kanak dan bayi perlu dilindungi agar mereka tidak mudah terdedah dan dijangkiti Covid-19.

“Daripada jumlah tersebut, 112 kes (35%) adalah di kalangan kanak-kanak berumur 4 tahun dan ke bawah, dan 22 kes (7%) di kalangan bayi kurang daripada 1 tahun.

“Setakat ini tiada kes kematian positif Covid-19 dicatatkan dalam kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun,” katanya pada sidang media hari ini.

Noor Hisham berkata Selangor mencatatkan bilangan kes positif Covid-19 yang tertinggi dalam kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun iaitu 77 kes, diikuti Negeri Sembilan (48 kes), Johor (46 kes), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (28 kes) dan Sabah (26 kes).

Beliau berkata adalah penting untuk melindungi keluarga.

“Kanak-kanak boleh dijangkiti daripada ahli keluarga. Setiap kali kita balik rumah jangan pegang mereka dulu sebelum bersihkan diri.

“Apa yang penting kita kena patuh SOP diberikan Kementerian Kesihatan. Sentiasa cuci tangan dan elakkan perhimpunan,” katanya.