Facebook bayar RM225 juta kepada pekerja alami tekanan perasaan

Bayaran pampasan akan diberikan kepada 11 ribu pekerja moderator kandungan yang berusaha untuk menjaga setiap kandungan yang masuk ke platform Facebook. (Gambar AP)

Facebook memaklumkan pihaknya bersetuju untuk membayar pampasan RM225 juta untuk pekerja moderator kandungan yang mengalami gangguan tekanan pasca trauma (PTSD) ketika bekerja.

Perjanjian ini lanjutan daripada keputusan Mahkamah California Amerika Syarikat, yang mengawasi isu tersebut.

Bayaran pampasan ini akan diedarkan kepada 11 ribu pekerja moderator kandungan yang berusaha untuk menjaga setiap kandungan yang masuk ke platform Facebook.

Berdasarkan hasil penyelidikan, pekerja moderator kandungan Facebook, yang disewa melalui sumber luar iaitu Cognizant di Phoenix dan Tampa menerima kesan terhadap kandungan jenis kebencian, pembunuhan, bunuh diri, dan kandungan grafik lain.

Menurut Tech Crunch, Facebook menggunakan ribuan pekerja moderator kandungan bagi menyaring setiap catatan, gambar dan kandungan yang disiarkan ke laman Facebook.

Mereka ditugaskan untuk menentukan adakah kandungan tersebut perlu dipadam atau dibiarkan setelah mendapat laporan dari pengguna yang menilai hantaran tersebut telah melanggar peraturan Facebook.

Salah seorang bekas pekerja moderator kandungan Facebook, Selena Scola mengatakan dia mengalami gangguan PTSD sejak menjadi moderator kandungan di Facebook.

Dia turut menuntut agar pihak Facebook segera mengeluarkan dana bagi rawatan untuk semua pekerja moderator kandungan yang mengalami PTSD.

Facebook dalam satu kenyataan merakamkan satu ucapan terima kasih kepada mereka yang melakukan kerja penting ini dalam memastikan Facebook menjadi tempat yang selamat untuk semua orang.

Mereka turut menyatakan kesudian mereka untuk memberi pampasan.

The Verge turut melaporkan syarikat Cognizant hanya membayar gaji RM122,000 setahun untuk pekerja moderator kandungan Facebook.

Mereka turut dikerah untuk tidak melakukan kesalahan dan sentiasa tepat dalam menilai semua kandungan di Facebook.

Akibat daripada kesan kerja, beberapa moderator kandungan mengaku telah didiagnosis dengan PTSD akibat bekerja dengan Facebook.

Lebih parah lagi apabila Cognizant mengumumkan mereka akan menutup perniagaan ini.

Berdasarkan perjanjian tersebut, jumlah wang yang akan diterima oleh setiap pekerja moderator kandungan melebihi RM4,000, bergantung pada diagnosis mereka.

Bagi mereka yang didiagnosis dengan kesihatan mental berhak untuk menerima wang tambahan sebanyak RM6,000, manakala mereka yang mengalami keadaan yang teruk sehingga kemurungan, misalnya akan mendapat RM26,000.

Sebagai tambahan untuk pembayaran rawatan, moderator yang memenuhi syarat dengan mengemukakan bukti kecederaan lain yang mereka alami ketika bekerja dengan Facebook akan menerima hingga RM217,000.

Tambahan daripada itu, Facebook merancang untuk menghantar pekerja moderator yang melihat kandungan negatif ke sesi kaunseling mingguan dengan pakar kesihatan mental dan sesi terapi kumpulan secara bulanan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]