Guru berdepan cabaran pasca-PKP berinteraksi dengan kanak-kanak autistik

Feilina Faisol dari Nasom berkata kanak-kanak harus melupakan apa yang telah diajarkan dengan susah payah kepada mereka tentang berinteraksi dengan orang lain.

PETALING JAYA: Guru yang mengajar kanak-kanak autisme berdepan cabaran cara baru untuk berinteraksi dengan mereka dalam era pasca-Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penjarakkan sosial akan menjadi norma paling sukar dipatuhi terutama untuk pelajar autisme di peringkat awal program intervensi, menurut Feilina Faisol, pengerusi Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom).

Bercakap kepada FMT, beliau berkata aktiviti intervensi awal, seperti mengajar kanak-kanak autisme bagaimana untuk memegang pensel, biasanya memerlukan kontak fizikal.

“Anda perlu memegang tangan mereka,” katanya.

Memberi contoh lain, beliau berkata sesetengah kanak-kanak mungkin perlu dipaksa dalam mengajar mereka untuk duduk.

Selain memakai topeng dan mencuci tangan secara kerap, Penjarakkan sosial merupakan antara amalan yang disarankan Kementerian Kesihatan dalam usaha mengekang pandemik Covid-19.

Menurut Feilina, kanak-kanak autisme boleh dilatih untuk melakukan kebiasaan itu walaupun ia memakan masa.

Malah, beliau berkata, mereka lebih bagus berbanding kanak-kanak lain dalam mematuhi amalan yang diperlukan setelah ia diterapkan dalam diri mereka.

“Sekali anda melatih mereka, kanak-kanak ini tidak akan meninggalkan rumah tanpa topeng dan mereka akan mengamalkan penjarakkan sosial secara automatik.

Nasom memiliki 16 pusat di seluruh negara dan 550 murid.

Feilina berkata, murid ketika ini harus melupakan apa yang telah diajarkan dengan susah payah kepada mereka mengenai berinteraksi dengan orang lain.

Ini kerana sesetengah kanak-kanak autistik pernah mengalami pengasingan sosial, mereka memilih untuk tidak berinteraksi dengan orang lain. Untuk mengubah perkara itu, Nasom menggalakkan kanak-kanak terbabit memeluk guru mereka atau bersalam.

“Ia akan menjadi tempoh yang mengelirukan untuk mereka,” katanya. “Selepas diajar untuk bersalam dengan guru, mereka akan diberitahu mereka tidak boleh melakukannya lagi.”

Feilina berkata ibu bapa perlu memainkan peranan untuk membantu anak autistik menyesuaikan diri dengan norma baru. “Mereka perlu melakukan perkara yang sama dilakukan guru di sekolah.”

Hasnah Toran, pengarah pusat intervensi awal untuk kanak-kanak autisme, Genius Kurnia, berkata ibu bapa harus bercakap dengan anak-anak mereka mengenai perubahan yang sudah dijangka selepas PKP berakhir.

Ibu bapa yang mendidik diri untuk membantu anak-anak mereka akan mendapati kanak-kanak itu dapat menyesuaikan diri dengan baik, katanya.