Hidap cerebral palsy tidak halang pemuda OKU ceburi perniagaan

Dale Adelrci Teri menjalankan perniagaan atas talian sejak 1 Mei 2018 dengan modal permulaan RM500 hasil tabungan elaun yang diperolehinya sebagai atlet para negara.

PETALING JAYA: Keadaan fizikal yang tidak sempurna, tidak mematahkan semangat seorang pemuda yang dilahirkan menghidap cerebral palsy untuk terus bekerja mencari rezeki dengan menggunakan platform media sosial.

Dale Adelrci Teri, 27 berkata, nikmat yang dikecapinya pada ketika ini, di samping mendapat kepercayaan pelanggan sewaktu menjalankan perniagaan, tidak datang bergolek, tetapi terpaksa mengharungi pelbagai onak dan duri.

Dale yang menggunakan nama akaun Facebook “Scarpe Negozio My” dalam menjalankan perniagaan berkata, beliau sendiri terpaksa menelan kepahitan dan terus belajar daripada kesilapan apabila perniagaan diusahakannya tidak mendapat sambutan.

“Saya mula menjalankan perniagaan atas talian sejak 1 Mei 2018. Saya mula berniaga baju, tetapi kurang mendapat sambutan. Selepas itu saya tukar kepada jualan kasut dan stokin, tahun pertama jualan agak lemah.

“Tahun kedua ia mula mendatangkan hasil. Saya tengok dalam laman sesawang peluang untuk berniaga secara atas talian dan tengok orang lain yang berniaga, kemudian belajar dari situ dan terus mencuba,” katanya dalam wawancara bersama FMT.

Ketika ini di laman Facebooknya, Dale mempunyai lebih 6,000 pengikut dan setiap kali dia bersiaran secara langsung, dianggarkan lebih 2 ribu penonton akan menyaksikan pemuda berkenaan mempromosikan kasut jualannya.

Dalam menjalankan perniagaan atas talian, Dale tidak menafikan bahawa beliau turut terdedah dengan penipuan yang dilakukan pelanggan terhadapnya, walaupun menyedari mengenai keadaan dirinya itu.

“Antara halangan yang saya hadapi adalah sukar mendapat bekalan memuaskan. Adakala kena ‘scam’, mujurlah atas sokongan dan semangat yang diberikan oleh keluarga, saya dapat bertahan.

Dale menggunakan nama akaun Facebook “Scarpe Negozio My” bagi perniagaannya. Beliau kini mempunyai lebih 6,000 pengikut.

“Scam yang pernah saya lalui adalah seperti pelanggan menunjukkan mereka sudah membuat pembayaran, tetapi akaun bank saya pula tidak menunjukkan apa-apa rekod,” katanya.

Anak bongsu daripada 3 beradik turut mengakui bahawa di peringkat permulaan perniagaannya, beliau turut menghadapi masalah mendapatkan modal perniagaan.

Bahkan beliau terpaksa menabung daripada elaun yang diperoleh sebagai seorang atlet paralimpik.

“Saya guna elaun daripada bidang sukan OKU, iaitu sukan Boccia. Saya juga pernah mewakili negara ke Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017. Daripada pendapatan itulah saya mula membeli stok untuk dijual.

“Modal permulaan dalam RM500 untuk pusingaan dan segala keuntungan yang saya dapat sekarang digunakan untuk pusingan supaya saya mendapat bekalan yang secukupnya untuk berniaga secara aktif,” katanya.

Dale berkata, beliau tetap bersyukur walaupun dalam keadaan serba kekurangan namun masih dapat menjana pendapatan sendiri melalui perniagaan tanpa perlu mengharapkan bantuan orang lain.

“Saya tidak malu mencuba menjalankan peniaagaan. Paling penting saya cuba, kalau berjaya saya beruntung, kalau gagal saya akan cuba lagi. Kalau gagal lagi, saya akan cuba produk lain, saya pasti akan ada membeli kalau saya menjual dengan ikhlas.

“Produk yang dijual adalah produk yang saya suka. Ini bermakna kalau saya suka, pasti pelanggan juga suka. Saya tidak menjual produk hanya untuk mendapat pendapatan. Saya juga akan pastikan produk daripada pembekal berkualiti,” katanya.

Ketika ini, Dale akan memperuntukkan tempoh masa selama 6 jam sehari dan akan membahagikan setiap masanya kepada 3 sesi, iaitu waktu pagi, tengah hari dan petang atau malam.

“Bagi saya, mesti yakin pada diri sendiri dan atur langkah pertama. Jangan fikir kegagalan, kalau gagal pada cubaan pertama, lihatlah apa kesilapan kita dan cuba perbetulkannya. Langkah pertama selalunya tidak sempurna.

“Kalau gagal juga cuba tukar produk. Jangan takut untuk tiru cara orang lain yang bagi tunjuk ajar dalam Youtube. Tiru dan pratik sendiri. Jika sesuai dan dapat sambutan atau ada perubahan sila teruskan, bermakna itulah cara yang sesuai,” katanya.

Menceritakan mengenai usahanya membantu petugas barisan hadapan semasa tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), Dale berkata, beliau menyumbangkan topeng muka kepada petugas kesihatan.

“Disebabkan sokongan pelanggan dan ada kala mereka yang menderma kepada saya, jadi sebagai menghargai sokongan mereka, saya mengeluarkan sedikit perbelanjaan dengan membuat topeng muka untuk petugas barisan hadapan,” katanya.