Jangkitan Covid-19 di India atasi China

Seorang kanak-kanak memandang ke luar ketika kereta api yang mengangkut pekerja migran ke Bihar meninggalkan negeri Maharashtra pada Khamis lalu. (Gambar AP)

NEW DELHI: Jumlah keseluruhan kes Covid-19 di India meningkat kepada 85,940 kes pada Sabtu, menjadikan negara itu melepasi China, walaupun sekatan pergerakan ketat dilaksanakan sejak akhir Mac lalu mengurangkan kadar jangkitan.

Pemimpin negara, perniagaan dan pekerja menggesa Perdana Menteri Narendra Modi membuka semula ekonomi yang terjejas, tetapi kerajaan dijangka akan melanjutkan tempoh sekatan pergerakan, yang sepatutnya berakhir pada Ahad, dengan sekatan yang lebih longgar.

Setakat ini, angka kematian di India dilihat lebih baik, menurut data kementerian kesihatan, dengan 2,752 kematian dilaporkan, berbanding China yang merekodkan 4,600 kematian. Jumlah kematian di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Itali jauh lebih tinggi.

Menteri Kesihatan Harsh Vardhan berkata ia berikutan kadar jangkitan yang perlahan, kerana ketika ini ia mengambil masa 11 hari untuk kes meningkat 2 kali ganda, sedangkan sebelum sekatan pergerakan kes meningkat 2 kali ganda setiap 3 1/2 hari.

“Jelas keadaan bertambah baik berikutan sekatan pergerakan. Kita menggunakan tempoh ini untuk mempercepatkan langkah-langkah kesihatan masyarakat seperti pengesanan kes, pengesanan kontak, pengasingan dan pengurusan kes,” kata Vardhan.

Pegawai India berkata kadar kematian yang rendah mungkin disebabkan majoriti orang yang dijangkiti virus itu sama ada tidak bergejala atau mempunyai gejala ringan dan penutupan besar-besaran yang dilaksanakan sejak awal telah membantu mengelakkan malapetaka besar.

Sepertiga daripada jangkitan tersebut berasal dari barat Maharashtra, dengan Mumbai paling terjejas, diikuti Tamil Nadu, Gujarat dan Delhi.

Semua negeri berkenaan adalah pusat ekonomi terpenting negara itu, yang menyulitkan tugas kerajaan ketika ia berusaha untuk dibuka semula tanpa mencetuskan jangkitan besar.

Salah satu bidang yang menjadi kebimbangan di India ialah ujian yang rendah berbanding jumlah penduduknya yang besar, kata pegawai kesihatan awam.

Negara itu meningkatkan ujian sejak awal April sehingga 100,000 pada minggu ini, tetapi dengan 1.3 juta penduduk berdasarkan per kapita, negara itu jauh ketinggalan berbanding negara besar lain seperti Amerika Serikat, United Kingdom dan Itali.