Kedah siap sedia pemimpin PAS dilantik MB baru

Adun Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor dijangka dilantik sebagai MB Kedah yang baru. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Satu jadual yang menyenaraikan upacara angkat sumpah menteri besar Kedah yang baru esok tersebar dalam kalangan PAS yang dijangka kembali menerajui kerajaan negeri itu selepas kalah kepada Barisan Nasional pada 2013.

Jadual yang tidak dapat disahkan itu, menunjukkan upacara angkat sumpah menteri besar baru akan diadakan di pejabat sultan Kedah di Alor Setar pada 2 petang esok.

Kumpulan media turut mendapat jemputan ke sidang akhbar oleh menteri besar baru, yang dijangka ialah Ketua Pembangkang Kedah dan Pesuruhjaya PAS negeri, Muhammad Sanusi Md Nor.

Berdasarkan jadual itu, penyandang menteri besar, Mukhriz Mahathir dijadual mengadakan sidang akhbar pada 10 pagi, disusuli pengumuman pelantikan MB baru oleh setiausaha kerajaan negeri.

FMT sudah menghubungi pegawai Kedah, tetapi belum menerima sebarang maklum balas.

Media melaporkan raptai upacara angkat sumpah diadakan pagi tadi yang turut dihadiri Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Kerajaan negeri yang baru dijangka ditubuhkan sejak beberapa hari lalu, selepas Sanusi mendakwa beliau meraih sokongan 23 daripada 36 Adun untuk membentuk kerajaan negeri baru Perikatan Nasional.

Katanya, 23 wakil rakyat yang menyokong PN sudah menandatangani akuan berkanun menyatakan hilang keyakinan terhadap Mukhriz.

Ini selepas Adun Sidam, Robert Ling dan Adun Lunas, Azman Nasrudin meninggalkan PKR pada Selasa lalu serta menyokong PN.

Sanusi dilaporkan berkata, 4 Adun PPBM turut menyokong PN. Dua lagi Adun PPBM di Kedah ialah Mukhriz dan Amiruddin Hamzah.

Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum pada 2018 dengan majoriti mudah 19 Adun berbanding 17 Adun dalam pembangkang. PAS mengetuai blok pembangkang dengan 15 kerusi dan Umno mempunyai 2 kerusi.

Awal minggu ini, Mukhriz dilaporkan bertegas beliau masih menteri besar Kedah kecuali dicabar melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri.

Mukhriz pada Februari lalu berkata, beliau masih mendapat sokongan 19 Adun PH, termasuk wakil rakyat PPBM yang kini menyokong PN, melalui akuan bersumpah.