Kerajaan benar pemegang status MM2H terkandas kembali ke Malaysia

Kerajaan berkata terdapat 253 pemegang status MM2H yang terkandas di luar negara sejak PKP berkuat kuasa pada 18 Mac.

PETALING JAYA: Kerajaan membenarkan ekspatriat dan ahli keluarga mereka di bawah program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang terkandas di luar negara kembali ke negara ini bermula esok.

Seramai 253 pemegang status MM2H dan tanggungan mereka terkandas di pelbagai negara berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Nancy Shukri berkata, susulan PKP diganti dengan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) mulai 13 Mei sehingga 9 Jun, kerajaan memutuskan ekspatriat dan tanggungan mereka boleh pulang ke negara ini mulai esok (17 Mei).

“Walaupun kerajaan mengalu-alukan kepulangan ahli MM2H yang terkandas, mereka harus mematuhi semua syarat PKP,” kata Nancy dalam kenyataan hari ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Nancy Shukri.

Ia termasuk saringan perubatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, diikuti kuarantin 14 hari di pusat kuarantin, katanya.

Nancy berkata, ketika kerajaan berkongsi kesukaran ahli MM2H ketika PKP, pihaknya berharap mereka dapat memahami cabaran yang dihadapi oleh pihak berkuasa untuk menangani pandemik Covid-19 yang merebak ke seluruh negara.

“Justeru, kerajaan memberi keutamaan untuk melindungi rakyat, termasuk komuniti MM2H daripada bencana Covid-19, serta mengawal sempadan Malaysia daripada penularan virus terbabit.

“Pendekatan cepat dan efektif yang diambil kerajaan membantu mengekang dan meratakan keluk penularan Covid-19,” katanya.

Beliau berharap mereka yang pulang ke negara melalui “perjalanan yang selamat dan akan gembira bersatu dengan orang yang mereka sayangi”.