KKM mungkin asing data kematian langsung Covid-19 dan punca lain

KKM berkata, ada individu yang positif Covid-19 selepas mereka meninggal dunia akibat punca lain.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan sedang mengkaji kemungkinan mengemas kini data kematian Covid-19 dengan mengasingkan pesakit yang meninggal dunia secara langsung akibat koronavirus dan punca lain.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata “ada kes yang dikaitkan dengan penyakit (lain), kemalangan atau punca kematian yang bukannya Covid-19, tetapi apabila kami mengambil swab, hasilnya positif”.

“Contohnya, dalam kes kematian ke-113, pesakit menghidap tahap akhir barah paru-paru dan diberikan cuti untuk rawatan paliatif di rumah.

“Selepas itu, kesihatan pesakit semakin merosot dan apabila ujian (Covid-19) dijalankan, ia adalah positif, tetapi punca kematian ialah barah paru-paru.

“Ini yang kami sedang bincangkan, sama ada kami patut mempertimbangkan ia kes positif Covid-19 atau punca kematian seperti bunuh diri, tetapi covid-19; setakat ini, kami mengkategorikan kes sedemikian sebagai Covid-19.”

Malaysia mencatatkan 113 kematian Covid-19 setakat ini.

Satu lagi kematian dilaporkan hari ini membabitkan seorang kakitangan perubatan di Sabah yang berusia 53 tahun.

Wanita itu yang menghidap barah dan darah tinggi, dimasukkan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas pada 5 Mei lalu sebelum diuji positif Covid-19.

Beliau meninggal dunia pada 7 Mei lalu dan siasatan dijalankan untuk menentukan sama ada beliau maut akibat barah atau Covid-19.