Pakar pertanian sambut baik e-runcit hasil ladang

70 tan sayur-sayuran dari ladang diedarkan kepada pengguna di seluruh negara. Makanan segar kini merupakan antara 3 kategori teratas di Lazada Malaysia.

PETALING JAYA: Seorang pakar pertanian menyambut baik peranan peruncit atas talian seperti Lazada dalam merancakkan peralihan rantaian perbekalan pertanian kepada pemasaran digital.

Bercakap kepada FMT, Tey Yeong Sheng dari Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, peralihan itu berlaku paling cepat dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Lazada membuka stor maya yang menghubungkan petani dengan pengguna Malaysia sebaik perintah sekatan itu bermula.

Dalam tempoh 3 minggu, kira-kira 70 tan sayur-sayuran dari ladang di Cameron Highlands diedarkan kepada pengguna rumah tangga di seluruh negara, dan makanan segar kini merupakan antara 3 kategori teratas di Lazada Malaysia.

Tey Yeong Sheng

“E-runcit seperti Lazada mempermudahkan peralihan itu dalam masa beberapa hari dengan menyediakan saluran runcit digital,” kata Tey.

Katanya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) cuba melakukan perkara ini selama beberapa tahun tetapi tidak berjaya.

Bagaimanapun katanya, Fama, yang turut berperanan sebagai pembeli akhir hasil yang tidak terjual, masih ada peranan dalam pemasaran digital.

“Dalam sektor pertanian, anda perlu ada skala. Kita ada antara 700,000 ke 800,000 petani. Lazada tidak dapat menampung angka ini. Justeru perlu wujud persaingan sihat daripada Fama dan platform lain yang memasuki pasaran.”

Fama dan agensi lain sememangnya mempunyai platform atas talian seperti Agrobazar Online yang menghubungkan petani secara langsung dengan pembeli, namun Lazada memilik profail yang lebih baik.

“Kita boleh lihat bahawa Fama memainkan peranan lebih proaktif dan ia harus diteruskan kerana ia (Fama) mengetahui harga dan petani,” kata Tey.

Bagaimanapun beliau juga bercakap mengenai cabaran yang perlu dihadapi, antaranya bagi menjamin kesegaran hasil dan kecekapan penghantaran apabila pergerakan pelanggan tidak lagi dihadkan.

“Ketika ramai yang kini bekerja dari rumah, maka menerima penghantaran tidak bermasalah, tetapi sebaik sahaja orang ramai kembali bekerja di pejabat, ia akan menjadi satu cabaran.

“Bagaimanakah mereka hendak menyimpan belian masing-masing? Bagimanakah petani dan syarikat logistik boleh menjamin ia kekal segar?”

Beliau berkata, lambat laun pengguna juga mahu melihat ketelusan dalam amalan pengeluaran pertanian. Platform atas talian dan petani perlu menjamin, antaralain keselamatan makanan dan nilai pemakanan, selain penggredan yang telus, harga dan pensijilan, katanya.

Barjoyai Bardai

Pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak Barjoyai Bardai berkata, petani boleh mendapat untung lebih tinggi melalui pemasaran digital kerana orang tengah tradisional tidak lagi mempunyai peranan.

“Ia mungkin bermula dengan sayur-sayuran, tetapi boleh dikembangkan kepada keluaran lain seperti daging, ayam, telur, malah ikan,” katanya.

“Tetapi saya fikir perlu ada lebih ramai pemain bagi menjamin persaingan dan pilihan lebih luas kepada petani dan juga pengguna,” katanya.

Beliau mengesyorkan supaya persatuan petani mewujudkan platform masing-masing.

Beliau berkata, apabila sektor swasta mampu mewujudkan pasar, kerajaan perlu mengundur setapak ke belakang dan memberi tumpuan kepada dasar dan kawal selia.

“Ini adalah penyelesaian pasaran yang berdaya maju dan kita harus benarkan pasaran bergerak secara bebas,” katanya.