Patung beruang panda teman makan di Bangkok

Restoran Maison Saigon di Bangkok, memulakan operasi perniagaan mereka dalam keadaan kebiasaan baru dengan meletakkan patung beruang panda sebagai simbolik penjarakan sosial di meja makan. (Gambar Twitter)

Sebuah restoran di Thailand menggunakan kreativiti dengan meletakkan patung beruang panda sebagai tanda penjarakan sosial.

Bagi memutuskan rantaian pandemik Covid-19, mengamalkan penjarakan sosial adalah cara penyelesaian terbaik berikutan vaksin untuk wabak belum ditemui.

Bangkok Post melaporkan, Restoran Maison Saigon di Bangkok, Thailand itu memulakan operasi perniagaan mereka dalam keadaan kebiasaan baru dengan meletakkan patung beruang panda sebagai simbolik penjarakan sosial di meja makan.

Orang ramai yang menikmati hidangan mereka ditemani patung itu juga tidak kesunyian, malah turut diletakkan penghadang plastik di tengah meja sebagai pencegahan.

Salah seorang pelanggan mengatakan dia gembira sebaik perintah berkurung dilonggarkan dan boleh menikmati makan di restoran.

“Walaupun terpaksa mengamalkan beberapa perkara baharu dalam kehidupan ketika ini, adalah penting untuk semua orang memberi kerjasama untuk memutuskan rantaian virus ini.

“Jika tidak mahu, duduk saja di rumah masing-masing,” katanya.

Peraturan baru itu dikuatkuasakan kerajaan Thailand untuk semua restoran yang mahu beroperasi dengan mengamalkan penjarakan sosial, meletakkan penghadang plastik di tengah meja dan hanya beberapa pelanggan saja dibenarkan berada dalam premis.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]