Pemilik bangunan, majikan digesa tingkatkan kualiti udara premis

Lee Lam Thye berkata, pekerja berhak kembali bekerja di persekitaran yang selamat dan sihat selepas lebih 50 hari pejabat ditutup akibat pelaksanaan PKP.

KUALA LUMPUR: Pemilik bangunan dan majikan perlu mengambil tindakan sewajarnya untuk meningkatkan kualiti udara bagi mencegah penyebaran Covid-19 melalui sistem penyaman udara.

Lee Lam Thye yang mengetuai Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan selama 27 tahun, berkata pemilik bangunan, pejabat dan pusat beli-belah perlu meningkatkan kualiti udara dalaman apabila premis dibuka semula selepas ditutup lebih 50 hari akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Apabila orang mula kembali bekerja selepas tempoh PKP, kualiti udara dalaman di pejabat dan tempat kerja harus menjadi keutamaan.

“Oleh itu, tanggungjawab semua pemilik bangunan dan majikan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan dan memastikan peredaran udara yang betul serta meningkatkan pengudaraan di semua bangunan dan tempat kerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata, pekerja berhak kembali bekerja di persekitaran yang selamat dan sihat.

“Keselamatan dan kesihatan pelanggan serta orang ramai juga harus terjamin dan dilindungi,” katanya.