Pengamal media diminta patuhi SOP ketika buat liputan

Kehadiran petugas media yang terlalu ramai ketika membuat liputan solat Jumaat di dalam masjid semalam. (Gambar Facebook)

PUTRAJAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob meminta kerjasama pengamal media dalam memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika membuat liputan.

Beliau berkata ia susulan terdapat laporan mengenai pelanggaran SOP oleh pengamal media ketika membuat liputan solat Jumaat yang pertama kali diadakan di masjid semalam.

“Saya difahamkan keadaan menjadi tidak terkawal apabila kehadiran pengamal media terlalu ramai sehingga tidak mematuhi penjarakkan sosial,” katanya pada sidang media, hari ini.

Ismail berkata beliau juga akan berbincang dengan penganjur untuk menyediakan tempat bertanda bagi pihak media yang dipanggil untuk membuat liputan.

Katanya, jika didapati tempat itu sempit, penganjur boleh mengehadkan kehadiran mereka pada satu-satu majlis untuk membuat liputan.

“Mungkin media pun tak tahu tempat itu sempit atau tidak. Tetapi saya rasa pengamal media pun tahu dari segi SOP penjarakkan sosial.

“Kalau nampak kawasan itu sempit tak perlu masuk lagi kerana membahayakan diri. Kita perlu berbincang, kita akan arahkan setiap penganjur buat SOP untuk pengamal media,” katanya.

Saringan pekerja asing

Ismail berkata, buat masa ini, hanya pekerja asing dalam sektor pembinaan dan pengawal keselamatan wajib menjalani ujian saringan Covid-19.

“Warga asing itu pun dari zon merah di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Kalau nak buat ujian lebih sekali, kos ditanggung majikan dan yang mencarum dengan Perkeso ditanggung Perkeso.”

Sementara itu, katanya, mesyuarat khas menteri hari ini turut memutuskan agensi pelancongan dibenarkan beroperasi semula bagi urusan pentadbiran, kewangan dan pengurusan jualan pakej pelancongan sebagai persediaan jika perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) ditamatkan.

Beliau juga berharap agensi pelancongan akan berbincang dengan pelanggan bagi mencari penyelesaian terbaik susulan pembatalan penerbangan ke luar negara akibat penularan Covid-19.

“Jika boleh bawa ke tarikh lain penerbangan pada masa akan datang.”

Katanya, kerajaan turut mengarahkan pengusaha feri dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi menarik balik surcaj RM10 bagi setiap tiket kerana harga minyak masih di tahap rendah.