Pensyarah UM dilantik mufti Wilayah Persekutuan

Pensyarah Universiti Malaya Dr Luqman Abdullah dilantik sebagai mufti Wilayah Persekutuan yang baru untuk tempoh 2 tahun sehingga 14 Mei 2022.

PETALING JAYA: Universiti Malaya (UM) mengucapkan tahniah kepada pensyarahnya Dr Luqman Abdullah susulan pelantikan beliau sebagai mufti Wilayah Pesekutuan yang baru.

Ucapan itu dibuat menerusi akaunTwitter rasmi universiti berkenaan berikutan pelantikan yang berkuat kuasa dari 15 Mei 2020 sehingga 14 Mei 2022.

“Universiti Malaya berbangga dan merakamkan ucapan setinggi tahniah kepada Dr Luqman Haji Abdullah dari Jabatan Fiqh dan Usul Akademi Pengajian Islam,” katanya.

Jawatan berkenaan kosong selepas penyandangnya Zulkifli Mohamad Al-Bakri dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama Mac lepas.

Pelantikan Luqman sebagai mufti Wilayah Persekutuan yang baru bagaimanapun belum diumumkan secara rasmi oleh menteri hal ehwal agama.

Luqman merupakan pengerusi Madrasah Rahmaniah Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas, Kelantan.

Beliau dilahirkan pada 12 September 1969 di Kampung Pondok Lubok Tapah, Pasir Mas, Kelantan.

Luqman adalah anak kedua ulamak Kelantan yang terkenal, Haji Abdullah Lubuk Tapah.

Beliau mendapat pendidikan formal di Sekolah Kebangsaan Lemal, Pasir Mas pada 1976 hingga 1980 dan menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Ugama (Arabiah) Pasir Mas dari 1981 hingga 1986.

Luqman melanjutkan Pengajian Asasi di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Nilam Puri dari 1987 hingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda di Fakulti Syariah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya pada 1989 hingga 1993.

Beliau kemudiannya menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah di Universiti Edinburgh, Scotland hingga 2005 dalam bidang undang-undang harta.

Luqman juga merupakan ahli Lembaga Pusat Pembangunan Pengajian Pondok Kelantan, ahli panel pakar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), ahli panel Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).