PH umum keputusan bertanding PRK DUN Chini dalam masa terdekat

Fuziah Salleh menggesa SPR mengemukakan SOP berkempen yang jelas berikutan petugas PRK berdepan risiko jangkitan Covid-19.

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) akan memuktamadkan keputusan sama ada akan mencabar kerusi DUN PRK Chini dalam masa terdekat.

“PH Pahang akan buat kenyataan dalam masa terdekat,” kata Pengerusi PKR negeri, Fuziah Salleh.

Fuziah turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengemukakan prosedur operasi standard (SOP) berkempen yang jelas susulan PRK itu dijalankan ketika wabak Covib-19 masih menular.

“Ini kerana 2 hari lalu terdapat kes positif Covid-19 di Chini.

“PRK kali ini bukan PRK biasa, tidak cukup setakat mengumumkan tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi.

“Yang paling penting ialah SOP sepanjang tempoh berkempen kerana petugas kita berdepan dengan risiko,” katanya kepada FMT.

PKR mewakili PH di kerusi Chini pada pilihan raya umum lalu.

PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur pada 6 Mei lalu.

Pada PRU14, Abu Bakar yang mewakili BN memperoleh 10,027 undi, menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405 undi) dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain (1,065 undi).

DUN Chini berada di bawah kawasan Parlimen Pekan yang diwakili bekas perdana menteri Najib Razak.

SPR semalam mengumumkan PRK Chini akan berlangsung pada 4 Julai di mana hari penamaan calon ditetapkan pada 20 Jun, manakala hari mengundi awal pada 30 Jun dengan tempoh masa berkempen selama 14 hari.

Mereka turut memaklumkan SOP kempen juga sedang diteliti Kementerian Kesihatan.