Sekolah dibuka kepada pelajar duduki peperiksaan terlebih dahulu, kata PM

Pelajar yang dibenar ke sekolah perlu mematuhi SOP yang akan dikeluarkan Kementerian Pendidikan.

PETALING JAYA: Kerajaan akan memberi keutamaan kepada pelajar yang menduduki peperiksaan hadir ke sekolah terlebih dahulu bagi memulakan sesi persekolahan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata pelajar terbabit perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang akan dikeluarkan Kementerian Pendidikan.

“Sepertimana yang diumumkan menteri kanan Pendidikan sebelum ini, tarikh pembukaan semula sekolah akan dimaklumkan sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum sekolah dibuka. Ini bergantung kepada nasihat yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Apabila sekolah dibuka nanti, untuk permulaan, kita berikan keutamaan kepada murid yang akan menduduki peperiksaan SPM, SVM, STPM dan STAM untuk ke sekolah dahulu.

“Ini untuk memastikan SOP mengenai penjarakkan sosial dan penjagaan kebersihan diri yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan dapat dipatuhi.

“SOP ini meliputi prosedur mengenai ketibaan murid di sekolah, pergerakan ke bilik darjah, susunan meja dalam bilik darjah, pergerakan di kantin dan pelbagai aspek lain,” katanya ketika perutusan Hari Guru 2020, hari ini.

Muhyiddin juga berkata, proses pendigitalan menggunakan platform atas talian atau pembelajaran maya akan terus diperkasa.

“Saya percaya pembelajaran maya adalah masa depan dalam pendidikan. Jadi, saya menyeru kepada guru-guru supaya mendalami kemahiran pengajaran secara atas talian dan ‘home-based learning’ yang merupakan kebiasaan baru dalam bidang perguruan,” katanya.

Muhyiddin turut mengucapkan tahniah kepada guru dan murid yang telah mencipta nama dalam pelbagai kejayaan.

Keluar kelompok 1/3 terbawah

Muhyiddin turut mengulas mengenai pencapaian Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di mana beliau turut terlibat dalam merangka pelan tersebut ketika menjadi menteri pendidikan.

“Pada ketika itu kita amat bimbang dengan pencapaian pendidikan di negara kita yang dikatakan berada dalam kelompok 1/3 terbawah atau ‘the bottom third’ dalam penarafan sistem pendidikan di peringkat antarabangsa.

“Hari ini saya berasa agak lega dan gembira kerana hasil kerja keras para guru melaksanakan pelbagai inisiatif dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, negara kita berjaya melangkah keluar daripada kelompok 1/3 terbawah.

“Pencapaian murid kita dalam ujian PISA bagi mata pelajaran Matematik meningkat daripada 421 mata pada 2012 kepada 440 mata dalam 2019. Pencapaian murid kita dalam mata pelajaran Sains juga meningkat daripada 420 mata pada 2012 kepada 438 mata pada 2019. Tahniah saya ucapkan kepada guru-guru kita semua,” katanya.

Muhyiddin bagaimanapun berkata pencapaian negara secara keseluruhannya masih berada di bawah paras pencapaian purata negara OECD.

“Ini menuntut guru-guru kita melipat gandakan lagi usaha untuk melonjakkan kualiti pendidikan negara kita agar setanding dengan kualiti pendidikan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Muhyiddin turut mengumumkan Nor Hainei Abu Bakar, bekas guru besar Sekolah Kebangsaan Jalan 3, Bandar Baru Bangi, Selangor dipilih sebagai Tokoh Guru Kebangsaan.

Manakala Aminudin Adam, bekas timbalan ketua pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi) dipilih sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan.