Taman di Sabah had 100 pengunjung sehari

Pemandangan di sebuah daripada 5 pulau di Taman Tunku Abdul Rahman di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Semua 24 taman dan taman laut di Sabah hanya menerima 100 pengunjung sehari selepas sekatan ke atas pelancongan domestik dilonggarkan.

Pengarah Taman-taman Sabah (TTS), Maklarin Lakim berkata had itu turut meliputi taman negara, termasuk Taman Kinabalu dan Gunung Kinabalu.

“Dengan mengurangkan jumlah, kami dapat mengawal orang ramai dengan lebih baik, khasnya untuk penggunaan tandas dan kemudahan lain,” katanya ketika melawat Taman Tunku Abdul Rahman hari ini, yang mula dibuka kepada pengunjung.

Taman Tunku Abdul Rahman antara taman laut paling dikunjungi di negeri itu dengan lebih 300,000 pengunjung dicatatkan setiap tahun ketika kemuncak pelancongan Sabah.

Taman negara itu terletak antara 3km dan 8km dari Kota Kinabalu serta terdiri daripada Pulau Gaya, Manukan, Sulug, Batu Sapi dan Mamutik.

Kakitangan Taman-taman Sabah memakai alat perlindungan diri di pusat pelawat Pulau Sapi.

Gunung Kinabalu, tapak warisan dunia, dan Taman Negara Kinabalu ialah satu daripada destinasi pelancongan paling menguntungkan di Sabah.

Maklarin berkata, orang ramai masih keberatan untuk keluar disebabkan perintah kawalan pergerakan bersyarat dan bulan Ramadan.

Beliau yakin jumlah pengunjung akan meningkat secara perlahan-lahan.

Sabah mencatatkan penurunan 16.4% pelancong (antarabangsa dan domestik) kepada 567,108 orang berbanding 678,128 pelancong dalam tempoh sama tahun lalu akibat penularan Covid-19.