Tommy Thomas ulangi pendirian tak gugur kes pengubahan wang Riza Aziz

Tommy Thomas berkata, beliau tidak membuat keputusan berhubung representasi Riza Aziz sebelum peletakan jawatannya pada 28 Feb lalu.

PETALING JAYA: Bekas peguam negara, Tommy Thomas bertegas tidak pernah memutuskan untuk menggugurkan pertuduhan pengubahan wang terhadap penerbit Hollywood, Riza Aziz.

Katanya, ia “sangat mengejutkan” beliau apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempertahankan kenyataan mendakwanya bersetuju dengan penyelesaian antara Putrajaya dan Riza yang dilepas tanpa dibebaskan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kelmarin atas pertuduhan pengubahan wang.

“Ia mencabar kredibiliti. Jika rekaan mereka mempunyai sebarang asas dari segi fakta, ia bermakna saya membuat keputusan menggugurkan pendakwaan terhadap Riza pada atau sebelum 28 Feb.

“Tetapi, keputusan itu hanya dilaksanakan dalam mahkamah 2 bulan kemudian, dan bukannya seawal mungkin, iaitu ketika 12 Mac (apabila kes itu disebut),” kata Thomas yang menjelaskan kronologi menyebabkan Riza dilepas tanpa dibebaskan mahkamah.

Thomas meletak jawatan sebagai peguam negara pada 28 Feb lalu, selepas kerajaan Pakatan Harapan dibubarkan.

Sebelum peletakan jawatannya, Thomas berkata, beliau tahu peguam Riza sudah menyerahkan representasi bertulis, dari akhir tahun lalu, untuk menyemak semula pertuduhan pengubahan wang itu, dan menyifatkannya senario biasa.

“Oleh itu, tidak ada apa yang mencurigakan mengenai penyerahan representasi oleh peguam Riza. Sama ada saya secara peribadi bertindak untuk bersetuju dengan permintaan mereka bagi menggugurkan pertuduhan ialah isu berasingan sama sekali. Saya tidak (lakukannya). Ia semudah itu.”

Thomas berkata, beliau menyerahkan surat Riza kepada Pendakwa Raya ad hoc, Gopal Sri Ram untuk mengkaji representasi dan mengesyorkan maklum balas terhadapnya.

“Sehingga saya meletak jawatan, saya tidak terima sebarang nasihat daripada Sri Ram. Oleh itu, saya tidak membuat keputusan mengenai representasi Riza sebelum peletakan jawatan saya.”

Khamis lalu, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan pasukan pendakwaan yang diketuai Sri Ram untuk melepas tanpa membebaskan Riza daripada 5 pertuduhan pengubahan wang berjumlah AS$248 juta.

Tetapi, Sri Ram memberitahu Hakim Azman Ahmad yang ia tertakluk kepada tertuduh untuk memenuhi perjanjian itu.

“Suatu persetujuan dicapai antara pihak pendakwaan dan tertuduh yang mana terma-termanya adalah kerajaan persekutuan akan terima sejumlah wang mencecah beberapa juta ringgit,” kata Sri Ram.

SPRM kemudiannya dalam kenyataan pada hari sama berkata, Putrajaya dijangka mendapatkan kembali aset dianggarkan berjumlah AS$107.3 juta (RM465.3 juta) daripada Riza.

Katanya, pelepasan Riza bersyarat di mana pihak pendakwaan berhak mengembalikan pertuduhan dan mendakwa beliau semula jika tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan yang dicapai.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mempertahankan penyelesaian itu, tetapi Thomas menafikannya dengan berkata, beliau tidak bersetuju dengan penyelesaian itu ketika masih memegang jawatan peguam negara.