Jumlah pesakit pulih Covid-19 cecah 80%

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengumumkan jumlah keseluruhan pesakit yang pulih dan dibenarkan keluar wad kini 80.8% daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini berkata keseluruhan pesakit yang sembuh 5,571 orang, berbanding 6,894 kes positif.

“Terdapat 59 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini,” katanya.

Sementara itu, Hisham melaporkan terdapat 22 kes jangkitan baru dilaporkan sehingga 12 tengah hari tadi, 5 daripadanya kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, dan 17 kes penularan tempatan di mana 9 kes bukan warga tempatan.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 1,210 kes,” katanya.

Sehingga kini, terdapat 13 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi, 7 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada kes kematian berkaitan Covid-19 setakat ini,” katanya.

Jumlah keseluruhan kematian Covid-19 kekal 113 kes, bersamaan 1.64% daripada jumlah keseluruhan kes positif.