Apad buka kaunter semua jenis permohonan esok

Semua jenis permohonan akan diterima di kaunter Apad bermula esok, dengan semua pihak dikehendaki mematuhi SOP Kementerian Kesihatan. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Semua jenis permohonan akan diterima di kaunter Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) bermula esok, berbanding 5 sejak dibuka semula pada 29 April lepas.

Agensi itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan, jenis permohonan yang diterima di kaunter Apad adalah permohonan baru lesen pengendali dan permit kenderaan; permohonan membaharui lesen pengendali dan permit kenderaan; permohonan ubah syarat; permohonan ubah syarat tawaran kelulusan; permohonan lesen perubahan sementara dan permohonan kad pemandu.

Lain-lain permohonan adalah melesenkan kenderaan mengikut surat tawaran kelulusan; permohonan batal kekal; permohonan pendua; permohonan lintas sempadan; permohonan melesenkan kenderaan melebihi had usia serta permohonan melanjutkan had usia.

Sementara itu, Apad menasihatkan orang ramai yang datang berurusan di pejabat dan kaunter Apad untuk memastikan mereka mengamalkan kebersihan diri yang tinggi, sentiasa menjaga penjarakkan sosial, dan memastikan tidak mempunyai sebarang gejala jangkitan Covid-19.

Menurut Apad, langkah itu demi memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan dan pematuhan tatacara operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dalam usaha mencegah Covid-19.