Ibu muda korban pertama Covid-19 di Nepal

Seorang wanita dan bayinya memandang ke luar melalui tingkap di sebuah bangunan di Kathmandu. (Gambar Pixabay)

KATHMANDU: Nepal melaporkan kematian akibat Covid-19 pertamanya pada Sabtu – membabitkan wanita berusia 29 tahun yang baru melahirkan anak – menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara itu mencapai 281 orang.

Mangsa terbabit – dari daerah Sindhupalchowk, kira-kira 90km dari Kathmandu – dalam perjalanan ke hospital untuk mendapatkan rawatan ketika dia meninggal dunia.

“Terbukti itu adalah kes kematian pertama disebabkan Covid-19 di Nepal,” kata wakil jurucakap kementerian kesihatan, Samir Kumar Adhikari, dalam satu kenyataan.

Wanita terbabit bersalin di sebuah hospital di Kathmandu pada 6 Mei dan pulang ke daerah asalnya sehari selepas itu.

Dia dirawat di sebuah hospital tempatan selepas mengalami demam dan masalah pernafasan. Selepas keadaannya bertambah teruk, wanita itu kemudian dirujuk ke hospital lain.

Bayinya yang baru lahir dan ahli keluarganya yang lain akan diuji untuk memastikan sama ada mereka dijangkiti virus itu, lapor media tempatan.

Nepal, yang memiliki 28 juta penduduk, hanya menjalankan kurang 100,000 ujian setakat ini. Pakar berkata kekurangan ujian secara besar-besaran mungkin menghalang pengenalpastian kematian lain.

“Saya tidak fikir ini adalah kematian pertama. Terdapat kes-kes kematian di mana gejala serupa dilihat, tetapi penyebabnya tidak jelas,” kata ahli epidemiologi Lhamo Sherpa.

“Perlu ada lebih banyak ujian, pengesanan kontak… dan lebih banyak ketelusan.”

Pada Januari, Nepal adalah negara Asia selatan pertama yang melaporkan kes Covid-19. Negara itu ditempatkan di bawah sekatan pergerakan sejak 24 Mac setelah kes ke-2 disahkan.