Jakarta bakal lancar ‘drive in cinema’ Jun ini

Panggung wayang pandu masuk menjadi pilihan utama untuk menceriakan kehidupan dan pada masa sama elak dijangkiti Covid-19. (Gambar Bangkok Post)

Sejak pandemik Covid-19 melanda satu dunia beberapa bulan lepas, banyak perniagaan yang terpaksa ditutup termasuklah panggung wayang.

Buat kaki wayang, pasti anda gian untuk menonton wayang kan?

Di Indonesia, syarikat Ergo and Co. mengambil inisiatif dengan cuba memperkenalkan “Drive-In Cinema” di Jakarta.

Cuba bayangkan anda boleh menonton wayang hanya daripada dalam kereta!

Menurut Adam Haziq, wakil Ergo and Co. dalam temu bual beliau bersama Kompas, idea ini masih dalam perbincangan kerana mereka masih mengkaji undang-undang di Indonesia.

“Mungkin dengan cara membawa kereta, penonton tidak perlu keluar kereta untuk disanitasikan. Pembelian tiket boleh dibuat secara dalam talian dan mereka hanya perlu menunjukkan barcode sahaja,” kata Adam.

Konsep “Drive-In Cinema” ini sebenarnya sudahpun diperkenalkan di negara luar, namun ianya sesuatu yang baru buat negara-negara di Asia Tenggara.

Sebelum ini penduduk di Seoul, Korea Selatan memilih untuk menggunakan panggung wayang pandu masuk sebagai salah satu cara untuk menceriakan hidup tanpa risiko dijangkiti Covid-19.

Panggung wayang pandu masuk Park Dong-ju, menjadi “port” penggemar filem menghabiskan masa menonton dari dalam kenderaan mereka yang diparkir di depan layar gergasi.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]