Kawal kumpulan, jarak sosial antara SOP dicadang buka semula kuil Hindu

Kuil Hindu akan mengehadkan jumlah penganut yang datang ke kuil dan masa yang dibenarkan berada di dalam kuil, selain mengasingkan pintu masuk dan keluar.

PETALING JAYA: Kuil Hindu menghantar kertas cadangan prosedur standard operasi (SOP) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pembukaan semula rumah ibadat mereka, termasuk kawalan kumpulan dan penjarakkan sosial.

Presiden Malaysia Hindu Sangam (MHS) RS Mohan Shan berkata cadangan itu mengambil kira garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata MKN akan mengkaji kertas cadangan itu.

Mengenai kawalan kumpulan, Mohan berkata persatuan itu mencadangkan untuk mengehadkan jumlah penganut mengikut saiz kuil. “Kami mempunyai beberapa piawaian untuk itu.”

Beliau berkata tidak akan ada kontak manusia dan sami dan penganut Hindu harus menjaga jarak 1 meter antara satu sama lain.

Biasanya, penganut Hindu diminta mencuci tangan dan kaki sebelum memasuki kuil dan sebagai langkah berjaga-jaga tambahan, pihak pengurusan kuil akan diminta untuk menyediakan cecair pembasmi kuman.

“Penganut juga mesti memakai topeng. Ini adalah wajib.”

Mohan berkata setiap kuil akan mempunyai hanya 1 pintu masuk dan keluar untuk mengelakkan orang ramai saling bertembung antara 1 sama lain.

Beliau berkata waktu untuk setiap penganut akan dihadkan, biasanya kira-kira 30 minit, dengan tambahan 10 hingga 15 minit untuk bertafakur. “Mereka tidak boleh duduk terlalu lama. Mereka mesti pergi selepas mereka bersembahyang.”

Makanan hanya boleh dibungkus dan dibawa pulang dan tidak akan disajikan di dalam kuil.

Mohan berkata, persatuan itu juga meminta pihak pengurusan kuil melantik pentadbir bagi memastikan SOP itu dipatuhi.

Beliau berkata kuil berdepan kekurangan dana berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). “Ramai penganut turut bertanya kami jika mereka boleh pergi ke kuil,” katanya.

Mohan berkata kontak manusia tidak menjadi masalah kerana ia biasanya hanya diperlukan untuk upacara perkahwinan.

“Pasangan yang akan berkahwin akan meminta restu daripada ibu bapa mereka. Kadang-kadang, akan ada sentuhan kaki. Namun, buat masa ini, kita belum menyenaraikan majlis perkahwinan lagi. Kita akan tunggu dan melihat, ”katanya.

Semalam, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) berkata SOP untuk pembukaan semula rumah ibadat bukan Islam akan dimuktamadkan esok dan akan dibentangkan kepada MKN untuk dibincangkan pada Selasa.

Ia susulan perbincangan dalam talian antara menterinya, Halimah Mohamed Sadique, dan wakil badan agama mewakili pelbagai agama seperti Buddha, Kristian, Hindu, Tao dan Sikh.