Kematian Covid-19 di Brazil lepasi 15,000 kes

Seorang petugas perubatan merawat pesakit Covid-19 di hospital perbandaran Sao Jose di Rio de Janeiro, semalam. (Gambar AP)

SAO PAULO: Angka kematian Covid-19 di Brazil melepasi 15,000 pada Sabtu, lapor data rasmi, sementara jumlah jangkitan di negara itu mencapai 230,000 kes, menjadikan ia negara ke-5 dengan kes tertinggi di dunia.

Dengan 15,633 kematian dan 233,142 kes yang disahkan, Brazil – di mana presidennya Jair Bolsonaro menyifatkan penyakit itu sebagai “selesema ringan” – adalah pusat penularan jangkitan di Amerika Latin.

Pakar berkata kekurangan ujian bermakna angka sebenar mungkin 15 kali ganda lebih tinggi dan memberi amaran keadaan yang lebih buruk mungkin akan berlaku.

Negara Amerika Selatan itu mencatatkan 816 kematian dan 14,919 kes baru dalam tempoh 24 jam terakhir.

Walaupun jumlah korban meningkat, Bolsonaro pada Sabtu menyelar langkah sekatan pergerakan yang diambil beberapa gabenor untuk mengekang penularan virus itu.

“Pengangguran, kebuluran dan kesengsaraan akan menjadi masa depan mereka yang menyokong kezaliman pengasingan total,” tweet presiden sayap kanan itu, sehari selepas Menteri Kesihatan Nelson Teich meletak jawatan, kurang sebulan memegang jawatan itu.

Presiden itu menegaskan penutupan perniagaan dan perintah duduk di rumah secara tidak langsung merosakkan ekonomi.

Pandemik itu sudah mengorbankan hampir 310,000 nyawa di seluruh dunia.