Pakar saran baiki kehidupan pendatang asing ketika pandemik Covid-19

Sebahagian lokasi di KL dilaksanakan PKPD selepas kes Covid-19 menjangkiti warga asing.

PETALING JAYA: Sebarang serbuan seterusnya oleh kerajaan terhadap komuniti pendatang asing boleh menyebabkan kegagalan terhadap usaha memerangi pandemik Covid-19, kata pakar kesihatan awam.

Dr Tharani Loganathan dari Universiti Malaya berkata serbuan imigresen dan polis menimbulkan ketidakpercayaan oleh pihak berkuasa kesihatan dan pendatang asing kini mungkin mengelak saringan dan rawatan Covid-19 secara sukarela di kemudahan kerajaan.

“Halangan sekian lama wujud untuk warga asing mengakses penjagaan kesihatan di Malaysia. Yang paling penting adalah halangan kewangan dan keperluan untuk menunjukkan dokumen undang-undang di kemudahan penjagaan kesihatan,” kata Tharani.

Dr Tharani Loganathan, pakar kesihatan awam.

Pengurusan pendatang diperdebatkan sejak pandemik Covid-19 bermula di negara ini. Ramai yang mempersoalkan risiko tambahan yang dihadapi komuniti itu kerana keadaan hidup mereka dan halangan untuk mendapatkan penjagaan kesihatan asas. Ramai juga yang bimbang mereka mungkin mewujudkan kluster dan menyebarkan penyakit itu.

Kementerian kesihatan pada awalnya dipuji kerana mengumumkan pada Januari bahawa warga asing akan dikecualikan daripada membayar kos ujian dan rawatan Covid-19 di kemudahan kerajaan dan tidak ada penguatkuasaan imigresen sepanjang tempoh pandemik tersebut.

Bagaimanapun, pada 1 Mei, pihak berkuasa melakukan serbuan besar-besaran ke atas pendatang asing tanpa izin (PATI) di pelbagai lokasi di Kuala Lumpur yang di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat. Polis berkata PATI itu mungkin sukar dikesan sekiranya mereka dijangkiti.

Tharani berkata, serbuan itu memusnahkan kepercayaan yang dibina dengan teliti oleh kerajaan sejak awal wabak itu bermula.

Beliau berkata kerajaan harus menangani masalah yang menjadi dasar, seperti keadaan hidup yang bersesak, kerana pihak berkuasa tidak dapat menahan semua kira-kira 2-3 juta PATI di negara ini.

Kerajaan juga mengumumkan semua pekerja asing harus menjalani saringan Covid-19 dengan kos dibiayai majikan mereka, namun Tharani berkata saringan besar-besaran tidak produktif dan hanya menimbulkan rasa tidak selamat.

Malaysia juga tidak memiliki kapasiti ujian untuk 2 juta warga asing yang memiliki dokumen dan dianggarkan 3 juta PATI di Malaysia, katanya.

“Beberapa majikan mungkin memecat pekerja daripada membayar kos ujian,” katanya.

Daripada ujian besar-besaran mandatori, kerajaan dan majikan harus melabur memperbaiki keadaan hidup dan tempat kerja yang lebih selamat untuk pendatang asing dan semua pekerja lain.

Katanya, majlis perbandaran, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Sumber Manusia dan kumpulan majikan harus bersama-sama mencari penyelesaian praktikal untuk menyelesaikan masalah perumahan terhadap individu bukan warganegara.

Menurutnya, keadaan hidup pekerja asing yang sempit menimbulkan gelombang baru wabak itu, katanya.

Tharani menyarankan agar kerajaan meyakinkan warga asing mengenai ujian percuma di kemudahan kesihatan kerajaan, dan juga menjamin tidak ada tindakan imigrasi selanjutnya terhadap mereka yang tampil mendapatkan rawatan.

“Kepercayaan adalah mustahak untuk memastikan warga asing bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan awam,” katanya.