Pemimpin Pemuda bahagian di Sabah ditahan kerana dadah

Gambar suspek di luar balai polis Kota Belud malam tadi yang tersebar di media sosial.

KOTA KINABALU: Seorang pemimpin Pemuda bahagian daripada sebuah parti pemerintah Sabah ditahan kerana di bawah pengaruh dadah di kem tentera Paradise, Kota Belud, malam tadi.

Lelaki yang berusia 30-an itu, ditahan polis kira-kira 8 malam selepas diberhentikan di pos keselamatan.

Pengawal mendapati ahli politik itu dalam keadaan khayal akibat dadah dan menghubungi polis.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Mazli Mazlan mengesahkan tangkapan itu hari ini selepas butiran ahli politik itu tersebar di media sosial.

Dia didakwa khayal akibat syabu.

Sementara itu, Warisan Bahagian Kota Belud mengesahkan ketua Pemudanya ditahan atas dakwaan kesalahan dadah.

Ia kesal dengan kejadian itu dan berkata, kepimpinan bahagian akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan mereka.

Warisan Bahagian Kota Belud diketuai Isnaraissah Munirah Majilis yang juga bekas timbalan menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim.