PKP tiada asas undang-undang, kata bekas menteri

Bekas menteri mempersoalkan bagaimana penjarakkan sosial boleh dikuatkuasakan berikutan tiada undang-undang mengenainya.

PETALING JAYA: Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Liew Vui Keong mempersoalkan kesahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas berkata beliau tidak dapat menemui Covid-19 disenaraikan sebagai penyakit berjangkit yang dijadualkan.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Liew Vui Keong.

Liew berkata kajiannya terhadap Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit menunjukkan ia “sangat tidak jelas” sama ada kerajaan sudah mentakrifkan Covid-19 sebagai penyakit berjangkit dalam jadual itu.

“Saya rasa ia (PKP) tidak sah dan ini adalah sesuatu yang saya mahu bawa ke mahkamah untuk meminta mereka menentukan sama ada ia sah,” katanya dalam forum atas talian yang dihoskan Pakatan Harapan, malam tadi.

“Saya memeriksa di laman web Jabatan Peguam Negara sama ada mereka telah mewartakannya (Covid-19) dan saya tidak rasa mereka melakukannya. Sekiranya Covid-19 tidak termasuk dalam jadual, bagaimana anda boleh menggunakannya sebagai alasan untuk menghalang kami daripada bersidang di Parlimen? Ada banyak yang perlu dijawab oleh kerajaan ini,” katanya.

Bulan lalu, setiausaha Dewan Rakyat menulis kepada ahli Parlimen untuk memaklumkan Dewan akan bersidang hanya 1 hari pada 18 Mei kerana PKP, yang berkuat kuasa sejak 18 Mac untuk mengekang penularan Covid-19. Perintah itu yang mengehadkan perhimpunan awam dan menyeru langkah lain seperti penjarakkan sosial, dilanjutkan secara berperingkat sehingga 9 Jun.

Liew juga berkata kebimbangan mengenai syarat yang dikenakan kerajaan agar orang ramai mengamalkan penjarakkan sosial(mengekalkan jarak sekurang-kurangnya 1 meter antara satu sama lain). Beliau berkata ia tidak boleh dikuatkuasakan berikutan tiada undang-undang yang mentakrifkan keperluan itu.

“Saya ingin menyedarkan menteri undang-undang baru kita. Bangun, bangun! Lihatlah Singapura. Mereka sudah meluluskan undang-undang untuk mentakrifkan apa itu penjarakkan sosial,” kata Liew.

“Jika tidak ada undang-undang yang mengatakan apa itu jarak sosial di Malaysia, bagaimana anda boleh meminta polis menahan orang ramai kerana tidak mematuhi perintah penjarakkan sosial ini? Anda tidak boleh berbuat demikian.”